Iran serang Kuwait, Bahrain, Jordan - Utusan Malaysia

Iran serang Kuwait, Bahrain, Jordan

GAMBAR fail Iran menyerang lapangan terbang Kuwait, 3 Jun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata pada Khamis bahawa mereka telah menyerang pangkalan tentera di Kuwait dan Bahrain sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu AS.

“Dalam dua gelombang operasi, 18 sasaran penting milik Tentera AS di pangkalan Tentera Udara Ali dan Ahmad Al-Jaber telah diserang,” kata Pengawal Revolusi dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita rasmi IRNA. 

Kenyataan itu turut menambah bahawa mereka juga menyerang dan memusnahkan pangkalan udara Sheikh Isa.

Media Iran sebelum ini melaporkan bahawa Iran telah menyerang Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain.

Pada 3 Jun lalu, Kuwait berkata, serangan Iran di wilayahnya telah membunuh seorang individu dan mencederakan beberapa yang lain, selain memaksa lapangan terbangnya ditutup serta merosakkan beberapa misi diplomatik yang tidak dinamakan.

Kementerian Luar Kuwait mengecam serangan itu yang sekali lagi menyasarkan infrastruktur penting dan awam, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, menyebabkan kematian seorang individu dan kecederaan kepada yang lain, selain merosakkan infrastruktur penting termasuk misi diplomatik.

Susulan serangan terbaharu Iran itu, Kuwait berkata bahawa ia akan menutup sementara ruang udaranya bermula 4.50 pagi waktu tempatan dan mengalihkan penerbangan ke lapangan terbang alternatif, selepas serangan Teheran di rantau tersebut.

“Langkah ini diambil berikutan serangan Iran ke atas Kuwait dan risiko yang berpotensi terhadap penerbangan awam di rantau ini,” kata Jabatan Am Penerbangan Awam negara itu dalam satu kenyataan.

“Ruang udara akan dibuka semula dan operasi penerbangan akan disambung semula sebaik sahaja keadaan kembali selamat dan punca bahaya telah dihapuskan, berdasarkan penilaian pihak berkuasa berkaitan.”

Dalam pada itu, IRGC berkata bahawa ia telah melancarkan peluru berpandu balistik ke arah sebuah pusat pemerintah tentera AS  di Jordan, menurut media.

“Operasi hukuman terhadap pihak penceroboh itu menyasarkan Pangkalan Udara Al-Azraq dan pusat kawalannya, menggunakan 12 peluru berpandu balistik,” kata Pengawal Revolusi, seperti dipetik agensi berita Tasnim.

Mereka turut mendakwa telah memusnahkan kemudahan tersebut dan sejumlah besar pesawat pejuang. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN