Iran pintas kapal tangki minyak gagal patuhi peraturan Selat Hormuz - Utusan Malaysia

Iran pintas kapal tangki minyak gagal patuhi peraturan Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Sumber tempatan melaporkan beberapa letupan kedengaran di selatan Iran pada Jumaat selepas pihak berkuasa maritim negara itu memintas sebuah kapal tangki minyak yang didakwa gagal mematuhi peraturan ketika cuba memasuki Selat Hormuz tanpa penyelarasan awal.

Menurut laporan, pihak berkuasa Iran menghalang laluan kapal tersebut sebagai sebahagian daripada usaha menguatkuasakan peraturan pelayaran yang mengawal pergerakan kapal melalui laluan perairan strategik itu.

Terdahulu, media Iran melaporkan letupan yang didengari berhampiran Pelabuhan Sirik di Wilayah Hormozgan pada waktu malam mempunyai kaitan langsung dengan insiden maritim berkenaan.

Agensi Berita Mehr melaporkan satu letupan kuat kedengaran di kawasan luar pesisir kira-kira dua kilometer dari pelabuhan itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dan perhatian penduduk setempat.

Sumber tempatan kemudian mengesahkan dua lagi letupan turut didengari di Bandar Abbas, sebuah lagi bandar pelabuhan utama yang menghadap Selat Hormuz.

Agensi Berita Tasnim pula melaporkan bunyi letupan tersebut berpunca daripada pelancaran objek ke arah Selat Hormuz, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai sifat atau tujuan pelancaran itu.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan di rantau berkenaan terus memuncak susulan tindakan agresif baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran sejak dua hari lalu serta peningkatan aktiviti ketenteraan di sekitar koridor maritim yang sangat penting itu.

Insiden tersebut berlaku ketika Presiden AS, Donald Trump mengumumkan beliau sudah membatalkan serangan yang sebelum ini dirancang terhadap Iran, sambil mendakwa Washington dan Teheran sedang bergerak ke arah mencapai satu perjanjian.

Trump berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak menunjukkan kemajuan ketara dan membayangkan satu perjanjian mungkin dimeterai dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, pegawai Iran berulang kali menolak dakwaan perjanjian muktamad telah dicapai.

Walaupun pegawai AS terus menegaskan Selat Hormuz kekal terbuka sepenuhnya kepada pelayaran antarabangsa, Teheran terus menegaskan kuasanya terhadap aktiviti maritim di kawasan tersebut dan secara aktif berdepan dengan pasukan Washington yang cuba mencabar rejim pelayaran sedia ada di laluan strategik itu.

Selat Hormuz kekal sebagai salah satu laluan transit tenaga paling penting di dunia, menjadikan sebarang perkembangan keselamatan di kawasan berkenaan tumpuan utama perhatian serantau dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN