Iran nafi tandatangani perjanjian tamat perang hari ini - Utusan Malaysia

Iran nafi tandatangani perjanjian tamat perang hari ini

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Kementerian Luar Iran pada Sabtu menyatakan bahawa memorandum yang dijangka dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan permusuhan tidak akan ditandatangani pada Ahad, menurut laporan media negara.

“Kita perlu menunggu dan melihat masa tepat untuk penandatanganan, namun ia tidak akan berlaku esok (Ahad) ,” kata jurucakap kementerian itu, Esmaeil Baqaei, seperti dipetik oleh agensi berita IRNA.

“Kemungkinan perkara ini berlaku dalam beberapa hari akan datang tidak boleh diketepikan,” tambah beliau, selepas Pakistan selaku pengantara memaklumkan bahawa Iran dan AS mungkin dapat memuktamadkan perjanjian tersebut dalam tempoh 24 jam.

Teheran sebelum ini menegaskan bahawa ia akan terus mengekalkan kawalan ke atas Selat Hormuz, laluan perdagangan maritim penting bagi penghantaran minyak dan gas dari rantau Teluk.

Sejak mengenakan sekatan ke atas selat tersebut, Iran telah mewajibkan kapal-kapal mendapatkan kebenaran daripada angkatan tenteranya sebelum melalui laluan itu.

Iran juga menubuhkan sebuah badan baharu untuk mengawasi selat berkenaan dan mengutip bayaran tol.

AS pula bertindak balas dengan mengenakan sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran pada 13 April lalu.

Markas Pusat Tentera AS berkata pada Sabtu bahawa Iran telah melancarkan beberapa dron serangan sehala dalam cubaan menyasarkan kapal-kapal komersial yang melalui Selat Hormuz.

Ia menambah bahawa tentera Amerika telah menembak jatuh kesemua dron tersebut dalam beberapa jam kebelakangan ini.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dalam temu bual dengan televisyen negara pada Jumaat berkata bahawa perjanjian yang sedang dirundingkan itu mengandungi syarat supaya sekatan tentera laut AS  ditarik balik. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN