BANDAR RAYA KUWAIT: Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada Rabu menafikan bertanggungjawab ke atas serangan yang dilancarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait yang dilaporkan telah mengorbankan seorang warga India dan mencederakan 63 yang lain.
Jurucakap IRGC, Hossein Mohebi menerusi saluran Telegram rasmi kor keselamatan itu memaklumkan bahawa hasil siasatan dan semakan pihaknya mendapati Tentera Udara IRGC langsung tidak melepaskan sebarang tembakan ke arah sasaran berkenaan.
Beliau sebaliknya mendakwa kerosakan yang berlaku di terminal penumpang Lapangan Terbang Kuwait itu berpunca daripada kesilapan sistem pertahanan udara Patriot milik Amerika Syarikat (AS).
Peluru berpandu daripada sistem tersebut didakwa telah terjatuh dan menghentam terminal itu.
Ia berlaku selepas gagal memintas peluru berpandu yang dilancarkan oleh pihak Iran.
Sebelum ini, pihak IRGC memaklumkan bahawa mereka sebenarnya menyasarkan lokasi yang berbeza iaitu Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, yang menjadi pusat penempatan helikopter bagi tentera AS.
Insiden serangan yang berlaku pada Rabu itu telah menyebabkan operasi di Lapangan Terbang Kuwait terpaksa dihentikan buat sementara waktu. Bagaimanapun, trafik udara kembali pulih lewat hari tersebut dengan kesemua penerbangan syarikat Kuwait Airways beroperasi semula seperti biasa.
Kementerian Pertahanan Kuwait memaklumkan bahawa sebanyak 30 peluru berpandu balistik serta dron telah dilancarkan dalam apa yang disifatkan mereka sebagai pencerobohan kejam pihak Iran.
Serangan terbabit dilapor turut mengakibatkan kemusnahan material yang amat ketara pada struktur bangunan lapangan terbang tersebut.
Dalam pada itu, Kementerian Luar India mengesahkan bahawa salah seorang rakyatnya telah terkorban dalam insiden di lapangan terbang berkenaan dan bertindak mengutuk keras serangan terbabit.
Pihak kementerian menerusi satu kenyataan rasmi sekali lagi menggesa semua pihak yang terlibat agar menghentikan segera serangan sedemikian ke atas sasaran awam.
Menurut sumber lapangan terbang yang memetik laporan AFP, mangsa yang terkorban merupakan seorang pengembara.
Sementara itu, Jurucakap Kementerian Kesihatan Kuwait, Abdullah al-Sanad menjelaskan bahawa seramai 63 mangsa telah menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami termasuk luka di bahagian kepala, pendarahan otak, pemotongan anggota badan dan kecederaan lain akibat kesan letupan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait telah menjadi sasaran serangan beberapa kali sepanjang tempoh peperangan yang meletus sejak Februari lalu dan premis berkenaan dilaporkan baru sahaja beroperasi semula sepenuhnya pada 1 Jun. – AFP










