China beri amaran cabaran besar rundingan baharu AS-Iran

China beri amaran cabaran besar rundingan baharu AS-Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Menteri Luar China, Wang Yi memberi amaran fasa seterusnya rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan menjadi lebih sukar, walaupun kedua-dua pihak dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Jumaat bagi menamatkan konflik antara mereka.

Dalam perbualan telefon dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar, Yi berkata, berbanding peringkat pertama, rundingan fasa kedua dijangka berdepan cabaran yang lebih besar.

Beliau turut menegaskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong proses rundingan tersebut.

“Kesepakatan yang dicapai ketika ini masih jauh daripada matlamat akhir, sebaliknya merupakan titik permulaan baharu.

“Usaha berterusan daripada semua pihak masih diperlukan bagi mencapai keamanan berkekalan di Asia Barat dan rantau Teluk,” katanya menurut kenyataan Kementerian Luar China.

Yi turut menyatakan kesediaan Beijing untuk bekerjasama dengan Pakistan dalam usaha mempromosikan keamanan di rantau berkenaan.

Pegawai Pakistan sebelum ini memaklumkan China, sekutu rapat Islamabad dan rakan dagang utama Iran, memainkan peranan penting dalam menyokong usaha pengantaraan Pakistan.

Kementerian Luar Pakistan memaklumkan Yi dan Ishaq bersetuju untuk meneruskan penglibatan bagi mencapai penyelesaian aman terhadap semua isu tertunggak, termasuk berkaitan Selat Hormuz, laluan perkapalan minyak strategik yang berdepan sekatan dan menggugat pasaran tenaga dunia.

“Mereka mengiktiraf kepentingan pembukaan Selat Hormuz kepada ekonomi global, keselamatan tenaga dan perdagangan antarabangsa,” menurut kenyataan kementerian itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN