TEL AVIV: Amerika Syarikat (AS) menamatkan kebenaran yang sebelum ini membolehkan Israel melancarkan operasi ketenteraan tanpa had di Lubnan.
Menurut laporan televisyen Channel 13 yang memetik seorang pegawai kanan Israel, Tel Aviv menerima mesej daripada Washington dalam beberapa minggu kebelakangan ini bahawa kebenaran terdahulu untuk bertindak tanpa had di Lubnan tamat tempoh.
Saluran itu turut mendakwa Presiden AS, Donald Trump, kini mengenakan beberapa sekatan terhadap operasi Israel, bukan sahaja di Lubnan tetapi juga di beberapa medan lain.
Perkembangan tersebut bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang sebelum ini menegaskan tenteranya di selatan Lubnan mempunyai kebebasan penuh untuk bertindak.
Laporan itu menyebut kepimpinan politik Israel mengeluarkan arahan rasmi kepada tentera mengenai skop operasi yang dibenarkan dan dilarang di Lubnan.
“Arahan itu melarang operasi di kawasan seperti ibu negara Beirut dan daerah Tyre di selatan Lubnan,” menurut laporan berkenaan.
Akhbar Israel, Maariv, kelmarin melaporkan wujud perbezaan pandangan antara Washington dan Tel Aviv berhubung situasi di Lubnan.
Ia mendakwa, Washington melihat isu selatan Lubnan dalam konteks serantau yang lebih luas, termasuk Selat Hormuz, harga tenaga, isu nuklear Iran serta keperluan Trump mencapai kejayaan diplomatik.
Sebaliknya, Israel berpendapat sebarang pengunduran awal dari selatan Lubnan boleh ditafsirkan sebagai ‘tanda kelemahan’ dan dianggap memberi ganjaran kepada Hizbullah, menurut laporan itu.
Sejak 2 Mac, serangan Israel ke atas Lubnan mengorbankan lebih 4,000 orang, mencederakan 12,000 yang lain dan menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Israel terus menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, termasuk wilayah yang dikuasainya sejak beberapa dekad lalu serta kawasan yang dirampas semasa perang 2023-2024.– AGENSI










