AS-Iran bakal bertemu di Doha sebelum tandatangan perjanjian damai - Utusan Malaysia

AS-Iran bakal bertemu di Doha sebelum tandatangan perjanjian damai

SELAT Hormuz dibuka selepas ditutup Iran ekoran AS-Israel melancarkan serangan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan mengadakan pertemuan tidak langsung di Doha minggu ini sebelum menandatangani secara rasmi perjanjian yang  menamatkan perang di Asia Barat, menurut seorang diplomat kepada AFP pada Isnin.

“Mesyuarat persediaan secara berasingan dengan setiap pihak akan berlangsung di Doha (Qatar) minggu ini, sebelum penandatanganan rasmi di Switzerland dan bermulanya rundingan teknikal,” kata diplomat itu, yang bercakap dengan syarat tidak dinamakan kerana membincangkan pengaturan sensitif.

Sumber itu turut menambah bahawa pengantara dari Qatar telah berlepas dari Teheran selepas 17 jam rundingan intensif yang bermula pada Ahad dan berakhir dengan tercapainya persetujuan.

Sebelum ini, AS dan Iran mengumumkan mereka sudah mencapai persetujuan untuk menamatkan perang antara kedua-dua negara serta membuka semula Selat Hormuz, sekali gus melegakan kebimbangan pelabur di seluruh dunia.

Bagaimanapun, kandungan sebenar perjanjian itu masih belum jelas. Ia dicapai selepas beberapa minggu rundingan yang tegang serta ancaman berulang daripada Presiden AS, Donald Trump untuk melancarkan semula tindakan ketenteraan sekiranya Iran gagal mencapai persetujuan.

Trump berkata, Selat Hormuz, laluan perkapalan utama bagi bekalan minyak dan gas dunia yang terjejas selama beberapa bulan akibat konflik akan dibuka semula pada Jumaat. 

Beliau juga mengarahkan penamatan sekatan AS ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran.

Perjanjian itu dijangka menamatkan konflik yang berlarutan selama tiga bulan dan menyebabkan harga tenaga meningkat mendadak serta mencetuskan kebimbangan terhadap lonjakan inflasi global.

Selat Hormuz, laluan maritim strategik yang mengendalikan kira-kira 20 peratus penghantaran bekalan minyak mentah dunia, ditutup secara efektif oleh Iran tidak lama selepas serangan AS dan Israel ke atas Iran mencetuskan konflik pada 28 Februari.

Perkembangan itu disambut baik di seluruh dunia sebagai langkah yang berpotensi membuka jalan kepada penamatan konflik secara berkekalan.

Sementara itu, Presiden Lubnan, Joseph Aoun  melahirkan harapan bahawa perjanjian antara Washington dan Teheran untuk menamatkan perang di Asia Barat akan membawa kepada penamatan muktamad konflik antara Israel dan Hezbullah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya, Aoun memuji memorandum itu yang menegaskan bahawa keselamatan dan keamanan Lubnan adalah sebahagian penting daripada sebarang usaha untuk mengukuhkan kestabilan di rantau ini.

Beliau berkata rakyat Lubnan menantikan agar persefahaman ini diterjemahkan kepada langkah-langkah praktikal yang menamatkan kitaran keganasan secara muktamad serta membuka fasa kestabilan, keselamatan, pemulihan dan pembinaan semula.

Teheran telah lama menegaskan bahawa sebarang perjanjian untuk menamatkan perang mesti turut merangkumi konflik selari di Lubnan, di mana Israel sedang menjalankan kempen ketenteraan terhadap Hizbullah yang disokong Iran.

Dalam perkembangan yang sama, agensi berita Fars me­laporkan dengan memetik sumber bahawa Teheran telah menambah satu klausa mengenai pengenaan caj perkhidmatan maritim ke dalam rangka perjanjian dengan AS sejurus sebelum ia diumumkan.

“Pada saat-saat akhir rundingan, teks memorandum persefahaman telah dipinda untuk menekankan secara jelas dan terperinci isu kedaulatan Iran-Oman ke atas Selat Hormuz,” kata Fars, memetik sumber tidak dinamakan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN