BAITULMUQADDIS: Dua menteri kanan berhaluan kanan keras Israel pada Isnin mengecam perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan perang di Asia Barat, termasuk di Lubnan.
Mereka menegaskan bahawa Israel tidak terikat dengan perjanjian tersebut.
“Perjanjian Trump tidak mengikat kami. Kkami bukan pihak dalam perjanjian ini. Ia tidak menjamin keselamatan kami,” kata Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir, menerusi saluran Telegram miliknya dalam reaksi pertama seorang pegawai Tel Aviv terhadap perjanjian itu.
“Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa-apa selain pembubaran Hizbullah. Kita tidak boleh berundur walau seinci pun dari wilayah yang telah ditawan dan dibersihkan oleh tentera,” katanya.
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, turut menyuarakan pendirian yang sama dengan menyifatkan perjanjian itu sebagai buruk bagi Israel.
“Kempen bersama (AS-Israel) telah mencapai banyak kejayaan dalam melemahkan Iran dan pencapaian itu bukan sia-sia,” kata Smotrich.
“Kita perlu meneruskan kempen untuk menjatuhkan rejim itu sendiri, menggunakan kaedah kreatif dan memastikan Iran tidak akan memperoleh senjata nuklear,” tambahnya.
Smotrich turut menggesa kempen ketenteraan yang lebih tegas di Lubnan.
“Kita akan dinilai berdasarkan apa yang berlaku di Lubnan. Ini adalah perang kita, melibatkan askar kita dan berkaitan secara langsung dengan keselamatan segera penduduk di wilayah utara kita,” katanya.
“Saya akan terus berusaha memastikan kita berpegang teguh pada pendirian kita dan membenarkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk terus menolak Hizbullah lebih jauh dari sempadan,” tambahnya. – AFP










