WASHINGTON: Seramai 11 orang penerjun bebas bersama seorang juruterbang disahkan terkorban selepas pesawat dinaiki terhempas di Missouri, Amerika Syarikat (AS), menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan.
Pesawat yang disewa oleh sebuah syarikat terjun udara itu dilaporkan berlepas kira-kira pukul 11.20 pagi waktu tempatan pada Ahad, lapor jurucakap Pengurusan Kecemasan Bates County.
Bercakap kepada BBC, jurucakap terbabit memaklumkan bahawa pesawat berkenaan mengalami kegagalan menambah ketinggian sebelum ia membelok tajam ke kiri sebelum terhempas kira-kira 182 meter dari Lapangan Terbang Memorial Butler.
Kesemua 12 mangsa yang berada di dalam pesawat itu disahkan maut di tempat kejadian.
“Kami mengklasifikasikan insiden ini sebagai kemalangan jiwa yang besar,” ujar Syerif Mukim Bates, Chad Anderson dalam satu sidang akhbar pada sebelah petang.
Beliau turut menjelaskan bahawa pesawat berkenaan bukan sebuah pesawat komersial, sebaliknya merupakan pesawat tempatan yang berlepas dari lapangan terbang tempatan.
Sementara itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesahkan pesawat jenis Pacific Aerospace P750 tersebut terhempas sejurus berlepas dari lapangan terbang berkenaan.
“Perkhidmatan kawalan trafik udara tidak disediakan pada waktu kejadian,” jelas FAA sambil menambah bahawa pesawat tersebut tidak diwajibkan untuk berkomunikasi dengan menara kawalan berdasarkan jenis ruang udara yang dilaluinya ketika itu.
Media tempatan melaporkan, pasukan penyelamat telah melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan bagi memastikan sekiranya ada dalam kalangan penerjun yang sempat melompat keluar sebelum pesawat itu terhempas.
Anderson menambah, beberapa ahli keluarga mangsa yang terkorban turut berada di lokasi dan menyaksikan sendiri insiden ngeri berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mendedahkan identiti kesemua mangsa yang terlibat.
Menurut FAA, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) kini sedang mengetuai siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas. -BBC










