WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Khamis bahawa beliau akan menghantar 5,000 anggota tentera ke Poland.
Penghantaran itu berlaku selepas Washington sebelum ini memaklumkan bahawa penempatan yang dirancang lebih awal telah dibatalkan bagi membolehkan Eropah mempertahankan dirinya sendiri.
Trump berkata, langkah itu dibuat berdasarkan hubungannya dengan Presiden Poland, Karol Nawrocki, sekutu nasionalisnya.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Amerika akan menghantar tambahan 5,000 anggota tentera ke Poland,” kata Trump di rangkaian Truth Social miliknya.
Trump tidak memberikan butiran lanjut, namun kenyataannya dilihat merujuk kepada penempatan beberapa ribu tentera AS ke Poland yang statusnya tidak jelas sejak beberapa hari lalu.
Minggu lalu, pegawai AS berkata, penempatan 4,000 anggota tentera AS ke Poland telah dibatalkan.
Ia merupakan langkah terbaharu pentadbiran Trump mengurangkan jumlah askar dan menghukum sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana tidak membantu dalam perang Iran.
Naib Presiden AS, JD Vance pada Selasa berkata penempatan 4,000 askar itu hanya ditangguhkan, bukannya dibatalkan, sambil menambah Trump belum membuat keputusan muktamad. – AFP










