YANGON: Pemimpin Myanmar yang ditahan, Aung San Suu Kyi kini dipindahkan ke tahanan rumah, lebih lima tahun selepas tentera menggulingkan kerajaan awam pimpinannya, lapor media negara.
Suu Kyi, 80, ditahan oleh junta sejak rampasan kuasa pada Februari 2021, dengan lokasi keberadaannya sebelum ini tidak didedahkan di tengah konflik perang saudara yang berlarutan di negara Asia Tenggara itu.
“Sebahagian baki hukuman Daw Aung San Suu Kyi diringankan untuk dijalani di kediaman yang ditetapkan,” lapor stesen penyiaran kerajaan, MRTV, dengan menggunakan gelaran penghormatan bagi ahli politik veteran itu.
Media kerajaan turut menyiarkan gambar Suu Kyi yang duduk di atas sofa kayu dan diapit dua anggota beruniform, imej awam pertama beliau dalam tempoh beberapa tahun.
Pasukan peguam Suu Kyi merancang untuk bertemunya hujung minggu ini selepas beliau dipindahkan ke tahanan rumah di ibu negara.
“Situasi semasa sudah berubah dan pertemuan ini tidak lagi sekadar lawatan biasa di penjara. Sebaliknya, ia akan menjadi sesi perbincangan antara pasukan peguam dan beliau bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan kesnya,” katanya.
Suu Kyi pernah ditahan di bawah tahanan rumah selama 15 tahun oleh junta terdahulu di kediaman keluarganya di Tasik Inya, Yangon.
Disember lalu, anaknya, Kim Aris, memberitahu Reuters dia sudah lama tidak mendapat khabar mengenai ibunya dan hanya menerima maklumat tidak langsung mengenai masalah kesihatan Suu Kyi seperti jantung, tulang dan gusi sejak ditahan.
“Senang mendengar mengenai tahanan rumah itu disahkan, namun kami tidak menerima sebarang pemberitahuan secara langsung. Kami mengetahuinya melalui pengumuman berita,” kata pasukan guamannya kepada Reuters.
Selepas beberapa perbicaraan panjang, Suu Kyi, dijatuhi hukuman penjara selama 33 tahun atas pelbagai tuduhan termasuk rasuat, menghasut penipuan pilihan raya dan melanggar undang-undang rahsia negara.
Namun, penyokongnya berpendapat semua pertuduhan itu bermotifkan politik dan bertujuan menyingkirkannya daripada arena politik.
Hukuman tersebut kemudian dikurangkan kepada 27 tahun, sebelum dipendekkan lagi sebanyak satu perenam melalui pengampunan Tahun Baharu Myanmar pada 17 April, yang turut membebaskan sekutunya dan bekas Presiden, Win Myint.
Pada 30 April, hukuman itu sekali lagi dikurangkan sebanyak satu perenam sebagai sebahagian daripada pengampunan meluas yang melibatkan semua banduan di penjara Myanmar.- AGENSI









