Sepupu PM Kemboja akui pegang saham syarikat terkait penipuan

Sepupu PM Kemboja akui pegang saham syarikat terkait penipuan

WARGA China dan Kemboja yang dipercayai pemiutang Huione Pay bertempur dengan polis serta anggota keselamatan semasa protes berhampiran ibu pejabat Bank Negara Kemboja di Phnom Penh pada 27 April lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Sepupu kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, mengaku memiliki pegangan 30 peratus dalam sebuah platform pembayaran digital yang dikaitkan dengan penipuan siber dan pengubahan wang haram serta dikenakan sekatan oleh Washington.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) tahun lalu menuduh Huione Group, yang mengendalikan beberapa syarikat dalam sektor e-dagang, pembayaran dan pertukaran mata wang kripto termasuk Huione Pay, terlibat dalam pengubahan wang bagi kumpulan jenayah rentas negara yang menjalankan penipuan dari Asia Tenggara.

Bekas Pengerusi Huione, Li Xiong dilaporkan diekstradisi ke China bulan lalu. Pihak berkuasa China berkata, beliau merupakan individu penting dalam sindiket perjudian dan penipuan rentas negara berskala besar serta disyaki terbabit dalam pelbagai kes jenayah.

Ahli perniagaan, Hun To dalam satu kenyataan berkata, beliau sememangnya memiliki 30 peratus saham dalam HUIONE PAY PLC.

Menurut laporan pelikuidasi Reachs & Partners, Xiong memiliki 62 peratus pegangan dalam Huione Pay, manakala Hun To memegang 30 peratus sahamnya. Pembubaran Huione Pay selesai pada Oktober 2025.

Hun To berkata, beliau tidak mengurus operasi perniagaan Huione Pay dan tidak pernah menerima sebarang keuntungan, dividen atau aset daripada syarikat itu.

Saudara perdana menteri itu sebelum ini disenaraikan sebagai pengarah Huione Pay dalam daftar perniagaan dalam talian milik kementerian perdagangan.

Menurut pihak pelikuidasi, Huione Pay mempunyai baki tunai bersih melebihi AS$1.1 juta (RM4.34 juta) selepas semua pemiutang dibayar, manakala baki dana diagihkan kepada pemegang saham sebenar yang bertanggungjawab terhadap operasi terdahulu syarikat itu.

“Saya tidak menerima sebarang bahagian daripada baki wang selepas pembubaran,” kata Hun To.

Sejak bulan lalu, penunjuk perasaan menuntut supaya akaun mereka dalam platform Huione, H-Pay yang sebelum ini dikenali sebagai Huione Pay, dinyahbekukan selepas mendakwa ia tidak boleh diakses sejak Disember.

Bank Negara Kemboja memaklumkan lesen perniagaan platform Huione dibatalkan, manakala pemiutang Huione Pay perlu membawa tuntutan ke mahkamah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN