BELGRADE Puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di pusat bandar Belgrade pada Sabtu bagi memperbaharui tuntutan supaya pilihan raya awal diadakan, susulan gerakan antirasuah yang tercetus selepas tragedi runtuhan stesen kereta api yang meragut nyawa.
Sejak runtuhan bumbung kanopi stesen pada November 2024 di Novi Sad yang mengorbankan 16 orang, tuntutan supaya siasatan telus dijalankan mengenai kejadian itu berkembang menjadi desakan untuk pilihan raya awal.
Sambil melaungkan slogan utama gerakan itu seperti “para pelajar sedang menang,” di tengah bunyi dram dan wisel, orang ramai berarak menuju ke Dataran Slavija di pusat bandar.
Sepanduk besar yang digantung pada pokok, selain kemeja-T, lencana dan pelekat turut memaparkan slogan tersebut.
Lewat Sabtu, ketika perhimpunan mula bersurai, pertempuran tercetus antara penunjuk perasaan dan polis.
Lelaki bertopeng membaling batu, botol dan mercun ke arah polis yang kemudian membalas dengan gas pemedih mata.
Seorang wartawan AFP melihat beberapa individu ditahan manakala kenderaan pasukan pasukan keselamatan polis menghalang orang ramai daripada menghampiri bangunan presiden dan parlimen.
“Semua individu yang menyerang anggota-anggota polis yang mengawal acara itu malam ini (semalam) selepas perhimpunan awam di Slavija akan dikenal pasti dan didakwa mengikut undang-undang,” menurut kenyataan pejabat pendakwa raya.
Presiden Serbia, Aleksandar Vucic dalam satu hantaran di Instagram menulis:“Situasi yang kita saksikan malam ini adalah sesuatu yang tidak baik untuk Serbia dan telah menyedihkan setiap rakyat negara ini,.Mereka tidak akan mengubah apa-apa dengan cara ini.”
Pelajar yang mengetuai gerakan itu berharap demonstrasi Sabtu dapat menghidupkan semula kempen mereka untuk mendesak Vucic mengadakan pilihan raya awal. – AFP










