Penyelam pasukan pertahanan Maldives maut ketika operasi cari mayat warga Itali

Penyelam pasukan pertahanan Maldives maut ketika operasi cari mayat warga Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALE: Seorang penyelam pasukan penyelamat di Maldives maut ketika terlibat dalam operasi mencari empat warga Itali yang lemas dalam tragedi selam skuba paling buruk di destinasi pelancongan Lautan Hindi itu.

Pasukan daripada Angkatan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF) meneruskan operasi pencarian untuk hari ketiga bagi mengesan kumpulan warga Itali yang tidak pulang selepas menyelam pada Khamis, menurut pegawai.

Satu mayat daripada kumpulan lima penyelam itu ditemui pada hari kejadian. Kementerian luar Itali mengesahkan pada Khamis kesemua lima rakyatnya itu meninggal dunia.

Operasi mencari diteruskan walaupun cuaca buruk melanda kawasan berkenaan.

“Staf Sarjan Mohamed Mahudhy dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal selepas timbul ke permukaan ketika operasi mencari, namun meninggal dunia ketika menerima rawatan,” menurut kenyataan MNDF.

Terdahulu pada Sabtu, Maldives menggantung lesen operasi sebuah kapal mewah yang digunakan kumpulan warga Itali itu untuk aktiviti menyelam.

Universiti Genoa berkata, mangsa termasuk seorang profesor biologi marin, anak perempuannya dan dua penyelidik muda.

Jurucakap utama kerajaan Maldives, Mohamed Hussain Shareef berkata, siasatan dilancarkan bagi mengenal pasti mengapa kumpulan itu menyelam melebihi had rasmi yang dibenarkan iaitu 30 meter.

Mayat seorang penyelam yang identitinya belum diumumkan ditemui di dalam sebuah gua pada kedalaman 60 meter.

“Kementerian Pelancongan dan Penerbangan Awam menggantung lesen operasi bot selam skuba MV Duke of York tanpa tempoh tertentu sementara menunggu hasil siasatan terhadap insiden yang berlaku di Vaavu Atoll pada 14 Mei,” menurut kementerian itu.

MV Duke of York ialah kapal mewah sepanjang 36 meter yang mampu menampung 25 tetamu.

Maldives terdiri daripada 1,192 pulau kecil karang yang tersebar kira-kira 800 kilometer merentasi garisan khatulistiwa di Lautan Hindi.

Lokasi itu merupakan destinasi pelancongan mewah popular dalam kalangan penyelam yang lazimnya menginap di resort terpencil atau di atas bot khas untuk aktiviti selam skuba.

Kemalangan berkaitan selam skuba dan sukan air jarang berlaku di negara Asia Selatan itu, namun beberapa insiden maut pernah dilaporkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN