TORONTO: Kumpulan pemisah di Alberta sedang bersiap sedia menyerahkan petisyen pada Isnin yang didakwa mempunyai cukup tandatangan untuk mencetus satu referendum mengenai kemerdekaan wilayah kaya minyak di Kanada itu.
Tinjauan menunjukkan kumpulan pro-kemerdekaan masih merupakan minoriti dalam kalangan kira-kira lima juta penduduk Alberta, namun ia telah mencapai paras tertinggi bersejarah sekitar 30 peratus.
Gerakan pemisahan di Alberta juga dikatakan semakin hampir untuk memaksa referendum, didorong oleh rasa tidak puas hati yang semakin meningkat terhadap kawalan Ottawa ke atas industri minyak wilayah itu.
Mereka juga mendapat rangsangan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kembali ke tampuk kuasa.
Selepas melancarkan petisyen pada Januari, kumpulan Stay Free Alberta yang mengetuai kempen itu diberi tempoh sehingga awal Mei untuk mengumpul 178,000 tandatangan bagi mencetuskan referendum tersebut.
Pemimpin kumpulan itu, Mitch Sylvestre berkata, beliau yakin sasaran itu akan dicapai.
“Kami akan mempunyai tandatangan yang diperlukan untuk mencetuskan referendum dengan lebihan yang selesa,” kata Sylvestre kepada AFP.
Kumpulan pemisah itu merancang untuk menyerahkan senarai tandatangan mereka kepada pegawai wilayah di Edmonton pada Isnin.
Puak First Nations di Alberta dilaporkan memfailkan cabaran mahkamah dengan hujah kemerdekaan akan melanggar hak perjanjian mereka, sekali gus berpotensi menjadikan referendum itu tidak sah.
Walaupun referendum itu tidak berlaku atau gerakan itu kalah, ramai berpendapat proses ini akan mengubah Kanada secara kekal dan kesannya akan berpanjangan.-AFP










