GEORGE TOWN: Ketiadaan Akta Pembaharuan Semula Bandar 2025 (RUU PSB) yang masih belum diluluskan di Parlimen dikenal pasti sebagai antara halangan utama kepada usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan pembangunan semula Rumah Pangsa Padang Tembak di sini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tanpa akta tersebut, kerajaan negeri perlu mendapatkan persetujuan 100 peratus daripada pemilik unit sebelum sebarang projek pembangunan semula boleh dilaksanakan.
Menurut beliau, syarat itu menyukarkan proses pelaksanaan memandangkan terdapat pelbagai kekangan melibatkan pemilik termasuk isu pinjaman bank, hak milik pusaka dan keengganan segelintir penduduk untuk berpindah.
“Kalau seorang sahaja tidak bersetuju, projek tidak boleh diteruskan. Ini merupakan cabaran paling besar yang kita hadapi ketika ini,” katanya selepas program Jelajah Ketua Menteri: Rumah Pangsa Padang Tembak di sini, semalam.
Rumah Pangsa Padang Tembak merupakan antara projek perumahan awam terawal dibina di Pulau Pinang sekitar akhir 1960-an bagi menampung keperluan kediaman penduduk berpendapatan rendah di kawasan bandar.
Kon Yeow berkata, sekiranya akta berkenaan diluluskan kadar persetujuan yang diperlukan hanyalah sekitar 70 hingga 80 peratus bergantung kepada usia bangunan, sekali gus memudahkan pelaksanaan projek pembangunan semula.
Katanya, usaha membangunkan semula kawasan tersebut telah mula diterokai sejak 2008 melalui pelbagai kajian kebolehlaksanaan termasuk pertandingan konsep pembangunan.
“Namun sehingga kini ia masih berada di peringkat perancangan dan disenaraikan sebagai projek berpotensi sekitar tahun 2030, tertakluk kepada penyelesaian pelbagai isu,” ujarnya.
Selain itu, katanya, faktor demografi penduduk yang majoritinya terdiri daripada warga emas turut menjadi pertimbangan penting dalam merancang pembangunan semula kawasan tersebut.
“Ramai penduduk di sini sudah berusia dan selesa dengan komuniti sedia ada, jadi kita perlu mengambil kira aspek sosial selain fizikal dalam pelaksanaan projek,” katanya.
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak menunggu sehingga projek pembangunan semula dilaksanakan sepenuhnya, sebaliknya mengambil langkah segera menaik taraf kemudahan sedia ada.
Katanya, antara projek yang sedang berjalan ialah kerja-kerja menaik taraf sistem pendawaian elektrik di Blok H melibatkan kos RM745,754 di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Awam.
“Kerja ini melibatkan penukaran pendawaian keseluruhan, pemasangan lampu koridor dan lampu kecemasan serta penambahbaikan kawasan bersama seperti tangga dan ruang legar,” katanya. – UTUSAN










