WASHINGTON: Lebih 70 penduduk Texas memfailkan saman terhadap bilionair, Elon Musk melalui syarikatnya Space Exploration Technologies, mendakwa bunyi bising dan getaran daripada pelancaran serta pendaratan roket Starship merosakkan rumah mereka berhampiran kemudahan Starbase milik syarikat itu.
Lapor Reuters, saman yang difailkan pada Khamis di mahkamah persekutuan di Brownsville, Texas itu mendakwa rumah dan harta lain mengalami kerosakan susulan 11 penerbangan ujian yang dikendalikan SpaceX antara April 2023 hingga Oktober 2025.
“Dalam melaksanakan operasi ujian, pelancaran dan pendaratan Starship, SpaceX berulang kali mendedahkan kawasan sekitar kepada tenaga akustik luar biasa termasuk bunyi bising, getaran dan letupan sonik,” menurut saman tersebut.
SpaceX bertahun-tahun membangunkan kawasan pantai selatan Texas itu menjadi kompleks industri berskala besar.
Kemudahan Starbase direka untuk menyokong pengeluaran roket dalam jumlah tinggi. SpaceX yang dianggarkan bernilai AS$1.75 trilion (RM6.94 trilion), kini bersiap sedia untuk tawaran awam permulaan (IPO).
Menurut saman itu, Starship menghasilkan lebih 7.26 juta kilogram tujahan, hampir dua kali ganda berbanding Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) moden milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Kapal angkasa Starship dan roket Super Heavy direka sebagai sistem pengangkutan yang boleh digunakan semula sepenuhnya, dengan ketinggian sekitar 122 meter.
Saman tersebut turut mendakwa SpaceX gagal menjalankan kajian mencukupi terhadap kesan penerbangan ke atas kawasan perumahan sekitar dan terus melaksanakan pelancaran walaupun berkemungkinan menyebabkan kerosakan harta benda.
Ia juga menyatakan SpaceX sedar akan risiko tersebut tetapi tetap meneruskan operasi tanpa mempedulikan hak, keselamatan atau kebajikan orang lain, termasuk para plaintif.










