Ibadat haji merupakan kemuncak dalam Rukun Islam yang bukan sahaja menuntut kesempurnaan pelaksanaan rukun dan syarat, malah membawa penghayatan spiritual yang mendalam kepada setiap Muslim.
Dalam konteks ini, Ketua Pakar Rujuk Haji, PROF. MADYA DR. LUQMAN ABDULLAH menjelaskan bahawa haji menghimpunkan keseluruhan elemen akidah, ibadah, pengorbanan dan tarbiah dalam satu perjalanan rohani yang menyeluruh, berbeza dengan ibadah lain yang lebih bersifat khusus.
Kepada pemberita, beliau menjelaskan, keistimewaan haji terserlah apabila ia menjadi simbol kesatuan umat Islam dari seluruh dunia yang berkumpul di Arafah tanpa mengira bangsa, status mahupun kedudukan.
UTUSAN MALAYSIA: Mengapa haji menjadi antara lima Rukun Islam?
LUQMAN ABDULLAH: Haji menjadi rukun kelima dalam Rukun Islam kerana ia melengkapkan keseluruhan perjalanan ibadah seorang Muslim yang bermula dengan syahadah, solat, puasa dan zakat. Setiap ibadah tersebut membentuk asas akidah, latihan keimanan, kesabaran serta pengorbanan, sebelum disempurnakan melalui haji yang menghimpunkan semua elemen tersebut dalam satu ibadah yang menyeluruh.
Selain itu, haji berbeza daripada ibadah lain kerana ia menghimpunkan umat Islam dari seluruh dunia di satu tempat tanpa mengira bangsa dan status.
Perhimpunan ini menzahirkan kesatuan umat serta kesedaran bahawa iman dan penyucian jiwa adalah milik bersama, menjadikan haji sebagai kemuncak kepada Rukun Islam.
Mengapa Arafah jadi rukun penting haji?
Wukuf di Arafah dianggap sebagai rukun paling utama dalam ibadat haji kerana Nabi Muhammad menyebut ‘Al-Hajju Arafah’ yang menegaskan bahawa haji sangat bergantung kepada wukuf.
Di Arafah, seluruh jemaah berkumpul pada waktu dan tempat yang sama, menjadikannya satu-satunya rukun yang menghimpunkan semua jemaah tanpa pengecualian.
Berbeza dengan rukun haji lain seperti tawaf dan saie yang mempunyai pelaksanaan mengikut jenis haji, manakala wukuf di Arafah adalah tetap dan tidak berubah. Justeru, ia menjadi detik paling penting dalam haji, ditambah pula dengan kelebihan Hari Arafah sebagai waktu mustajab doa yang menuntut tumpuan penuh kepada ibadah.
Komen berkenaan kemudahan berbeza
Kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa seperti Kerajaan Arab Saudi dan Lembaga Tabung Haji hanya berfungsi sebagai alat untuk memudahkan ibadah, bukan penentu kepada nilai atau penerimaan ibadah di sisi Allah.
Hakikatnya, keikhlasan dan ketakwaan tetap menjadi ukuran utama, bukan tahap keselesaan atau kemewahan yang dinikmati. Ada yang diuji dengan kesederhanaan tetapi memiliki keikhlasan tinggi, manakala ada yang diberi kemudahan lebih baik namun tetap perlu menjaga hati agar tidak bergantung kepada faktor luaran semata-mata.
Apakah maksud haji mabrur?
Haji mabrur ialah haji yang diterima oleh Allah. Ia dikaitkan dengan amal kebaikan dan ketakwaan. Balasan bagi haji mabrur sebagaimana disebut dalam hadis ialah syurga.
Terdapat tiga perkara utama menuju haji mabrur iaitu keikhlasan, kesempurnaan rukun dan syarat serta menjauhi maksiat sepanjang ibadat haji.
Walaupun kelihatan mudah untuk disebut, pelaksanaannya memerlukan ilmu, kesabaran dan latihan rohani yang berterusan.
Komen hukum haji tanpa saluran sah
Walaupun dari sudut rukun dan syarat, haji mungkin sah jika dilaksanakan, namun ia tetap dianggap bersalah dari sudut kepatuhan kepada pihak berkuasa. Oleh itu, jemaah dinasihatkan supaya mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan haji.
Peraturan ini diwujudkan untuk menguruskan jumlah jemaah yang besar secara sistematik demi keselamatan dan kelancaran ibadat. Walaupun kita melihat dari sudut individu, pihak pengurusan melihat daripada sudut keseluruhan jemaah.
Justeru, mematuhi peraturan adalah sebahagian daripada tanggungjawab ibadat agar perjalanan haji berjalan dengan baik dan teratur, serta tidak memberi kesan negatif kepada jemaah lain. – UTUSAN










