SETIAP kali tibanya musim haji, perhatian umat Islam di seluruh dunia tertumpu ke Tanah Suci Mekah. Jutaan manusia dari pelbagai bangsa, bahasa dan latar belakang berhimpun untuk menunaikan rukun Islam kelima.
Dari sudut zahir, ia kelihatan sebagai himpunan besar yang penuh disiplin dan teratur. Namun, hakikatnya ibadah haji jauh lebih besar daripada sekadar perjalanan fizikal.
Masyarakat umumnya memahami haji sebagai kewajipan agama yang perlu ditunaikan apabila berkemampuan. Dari sudut hukum, hal ini memang tepat.
Namun, apabila ibadah ini hanya dilihat sebagai rangkaian ritual seperti ihram, tawaf, sa’ie, wukuf dan melontar jamrah tanpa memahami makna di sebaliknya, kita sebenarnya kehilangan roh haji yang sebenar.
Haji bukan sekadar hadir ke Tanah Suci, sebaliknya menjadi proses pembentukan diri agar lebih dekat kepada Allah dan lebih bertanggungjawab terhadap sesama manusia. Setiap rukun haji membawa mesej yang mendalam.
Ihram, misalnya, bukan hanya dua helai kain putih tetapi melambangkan kesederhanaan dan kesamarataan. Ketika memakainya, manusia menanggalkan segala gelaran, pangkat dan status sosial. Seorang kaya dan miskin berdiri sama di hadapan Tuhan. Di sinilah manusia belajar bahawa nilai sebenar terletak pada ketakwaan.
Tawaf pula mengingatkan kehidupan seorang Muslim mesti berpusat kepada Allah. Sebagaimana jemaah mengelilingi Kaabah, begitulah kehidupan seharusnya bergerak dalam orbit ketauhidan.
Sa’ie antara Safa dan Marwah menggambarkan usaha dan kesabaran melalui kisah Siti Hajar. Islam mengajar manusia untuk berikhtiar bersungguh-sungguh sebelum berserah kepada Allah.
Wukuf di Arafah menjadi kemuncak ibadah haji. Ketika jutaan manusia berhimpun di padang luas, mereka diingatkan tentang hari kebangkitan. Saat ini membuka ruang muhasabah diri, memohon keampunan dan memperbaharui tekad hidup. Melontar jamrah pula melambangkan penolakan terhadap hawa nafsu dan godaan syaitan.
Namun, jika semua ini dilakukan tanpa penghayatan, haji hanya menjadi amalan fizikal tanpa perubahan spiritual. Tanpa kefahaman, ibadah mudah menjadi rutin kosong, solat sekadar gerakan, puasa hanya menahan lapar, zakat sekadar transaksi dan haji hanya perjalanan.
Tokoh Nusantara, Hamka, turut menegaskan haji ialah proses penyucian jiwa. Beliau melihat ihram sebagai simbol kematian ego, tawaf sebagai pusat kehidupan kepada Allah dan wukuf sebagai detik kesedaran rohani.
Haji, menurut beliau, sepatutnya melahirkan insan yang lebih rendah hati, jujur dan peduli terhadap masyarakat.
Namun, tanpa penghayatan falsafah ini, haji boleh kehilangan makna. Seseorang mungkin pulang dengan gelaran ‘haji’ tetapi tanpa perubahan akhlak. Kesedaran sosial juga tidak berkembang dan pengalaman besar ini gagal melahirkan ejen perubahan dalam masyarakat.
Oleh itu, pendidikan haji tidak boleh tertumpu kepada aspek teknikal semata-mata. Ia perlu menekankan penghayatan nilai dan makna di sebalik setiap amalan. Hanya dengan kefahaman mendalam, haji mampu mengubah cara pandang dan kehidupan seseorang.
Dalam dunia yang semakin materialistik, mesej haji amat relevan. Ia mengajar kemuliaan manusia tidak diukur melalui kekayaan atau kedudukan tetapi melalui ketakwaan dan keikhlasan. Haji ialah sekolah kehidupan yang mendidik tentang disiplin, pengorbanan dan keinsafan.
Akhirnya, haji bukan sekadar sampai ke Mekah, tetapi mencapai kesedaran bahawa seluruh kehidupan mesti berpusat kepada Allah. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. ABD HAKIM MOHAD
Pusat Pengajian Teras
Universiti Sains Islam Malaysia
& Penyelidik Tamu
Universiti Bonn, Jerman










