AS diminta tidak serang Iran ketika musim haji - Utusan Malaysia

AS diminta tidak serang Iran ketika musim haji

SEKATAN Iran terhadap Selat Hormuz yang menjadi laluan utama tenaga dunia turut menjejaskan eksport minyak dan gas asli cecair negara-negara Teluk. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan menangguhkan rancangan menyerang Iran minggu ini selepas menerima amaran daripada negara-negara Teluk yang menjadi sekutunya supaya tidak meneruskan perang ketika musim haji. 

Menurut dua pegawai kanan AS yang dipetik Middle East Eye, Trump dimaklumkan serangan terhadap Iran ketika musim haji boleh mencetuskan krisis kerana beratus-ratus ribu jemaah berisiko terkandas.

Sumber itu turut berkata, Trump diberi amaran tindakan menyerang Iran menjelang Aidiladha akan terus menjejaskan imej Washington di dunia Islam.

ISU REPUTASI

Seorang pegawai kanan AS yang mengetahui perbincangan dalam pentadbiran Trump mengesahkan perbualan itu berlaku.

Katanya, pegawai AS memberi amaran kepada presiden itu tentang penyambungan semula perang AS-Israel ketika ini boleh menyebabkan kerosakan reputasi yang serius terhadap beliau.

AS sebelum ini pernah menyerang Iran ketika Ramadan, namun tindakan sedemikian pada musim haji dijangka menimbulkan cabaran logistik besar kepada Arab Saudi yang menerima sekitar sejuta jemaah asing setiap tahun.

Cabaran itu turut melibatkan hab penerbangan utama Teluk seperti Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain negara Asia Selatan serta Asia Timur yang menjadi laluan utama jemaah.

Musim haji tahun ini dijadual bermula pada 24 Mei dan berlangsung selama enam hari dengan ratusan ribu jemaah sudah berada di Arab Saudi menjelang ibadah itu.

Ketiga-tiga sumber bagaimanapun menjangkakan perang akan bersambung semula dalam beberapa minggu lagi selepas musim haji berakhir.

Mereka berkata, AS sebelum ini pernah menggunakan taktik mengelirukan bagi memberi gambaran seolah-olah rundingan dengan Iran berjalan lancar sebelum melancarkan serangan.

Apabila AS menyerang Iran pada 28 Februari lalu, tindakan itu dilakukan selepas rundingan dengan Teheran di Geneva, Switzerland dilihat menunjukkan perkembangan positif.

Awal minggu ini, Trump berkata, beliau menangguhkan serangan terhadap Iran pada malam Selasa selepas campur tangan pemimpin negara-negara Teluk.

Menerusi platform Truth Social, Trump berkata, beliau diminta Emir Qatar, Tamim Hamad Al Thani; Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman dan Presiden UAE, Mohamed Zayed Al Nahyan, supaya menangguhkan serangan ketenteraan yang dirancang terhadap Iran.

“Pada pandangan mereka sebagai pemimpin dan sekutu hebat, satu perjanjian akan dapat dicapai,” katanya.

Apabila perang tercetus susulan serangan AS dan Israel, Iran bertindak balas dengan menyerang pangkalan serta kepentingan AS di negara-negara Teluk.

Teheran turut memberi amaran sebarang serangan lanjut terhadap infrastruktur tenaga dan awamnya oleh AS atau Israel akan dibalas dengan serangan terhadap infrastruktur Teluk dan konflik akan melangkaui Asia Barat.

Trump kemudian mengumumkan gencatan senjata yang berkuatkuasa 8 April tanpa had masa.

Arab Saudi, Qatar dan Oman dilaporkan antara negara yang paling berusaha menghalang peningkatan konflik itu.

SEKATAN

Sekatan Iran terhadap Selat Hormuz yang menjadi laluan utama tenaga dunia turut menjejaskan eksport minyak dan gas asli cecair negara-negara Teluk.

Badan baharu Iran yang menyelia Selat Hormuz mendakwa kawasan kawalannya meliputi perairan di selatan pelabuhan Fujairah di UAE) yang menempatkan infrastruktur minyak bagi memintas laluan strategik itu. 

Badan itu menambah bahawa sebarang transit melalui kawasan ini untuk tujuan melintasi Selat Hormuz memerlukan penyelarasan dan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi. 

Serangan awal Washington terhadap Iran juga dilihat gagal mencapai matlamat menggulingkan kerajaan Iran walaupun Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam serangan itu.

Penggantinya, Ayatollah Mojtaba Khamenei yang merupakan anak Ayatollah Ali, Iran terus bertahan walaupun dibedil selama berminggu-minggu dan mengekalkan simpanan peluru berpandu yang besar.

Kerajaan Israel yang melihat Iran sebagai musuh serantau utamanya dilaporkan terus mempengaruhi Trump supaya meneruskan perang walaupun penilaian dalaman AS memberi amaran mengenai risiko terhadap tentera Amerika dan ekonomi global.

Menurut The New York Times, pegawai Pentagon turut membangkitkan isu kekurangan peluru dan peningkatan keupayaan taktik pertahanan udara Iran yang boleh menyukarkan sebarang serangan baharu AS terhadap negara itu.

SELAT HORMUZ

Laluan perkapalan melalui Hormuz, saluran perdagangan global yang amat penting berada di bawah kawalan Iran sejak tercetusnya perang dengan Israel dan AS.

Iran, secara efektif telah menutup selat itu sejak perang bermula dan sedang berusaha mengenakan bayaran ke atas kapal melaluinya menyatakan bahawa kapal yang melalui laluan tersebut mesti mendapatkan kebenaran daripada angkatan bersenjata Iran.

Dalam hantaran di platform X pada Rabu yang disertakan dengan peta, Pihak Berkuasa Teluk Parsi berkata, ia telah menetapkan bidang kuasa kawal selia bagi pengurusan selat itu.

Menurutnya, kawasan itu meliputi ruang antara garisan yang memanjang dari Kuh-e Mubarak di Iran ke selatan Fujairah di UA hingga ke garisan yang menghubungkan hujung Pulau Qeshm di Iran dengan Umm Al-Quwain di UAE.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan UAE, Anwar Gargash mengecam dakwaan Iran mengenai kawalan ke atas perairan emiriah di Selat Hormuz yang disekat sebagai angan-angan kosong pada Khamis, susulan pe­ngumuman oleh badan Iran tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN