Malaysia miliki kerangka kaji isu haji

Malaysia miliki kerangka kaji isu haji

ZULKIFLI Hasan menyampaikan kertas kerja dalam dalam Simposium Haji Antarabangsa di Jeddah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH: Malaysia telah mempunyai kerangka kukuh dalam menangani pelbagai persoalan dan penyelesaian berkaitan kajian fiqh bagi isu ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, negara mampu mendepani perubahan dan realiti cabaran haji yang sentiasa berubah.

“Selain Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang diadakan setiap tahun, Malaysia juga mempunyai pakar berwibawa yang mampu menangani perubahan dan realiti yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas Simposium Haji Antarabangsa di sini semalam.

Terdahulu, Zulkifli ketika membentangkan kertas kerja berkata, pengurusan haji yang semakin kompleks menuntut perubahan semasa dan penyesuaian berteraskan pendekatan ijtihad kontemporari yang berpandukan Maqasid Syariah.

Katanya, antara contoh ijtihad kontemporari termasuklah pengurusan kuota jemaah haji bagi mengelakkan kesesakan, dasar kesihatan seperti vaksinasi ketika pandemik Covid-19 serta penggunaan teknologi digital termasuk aplikasi pengurusan haji.

“Kecerdasan buatan (AI), platform pendaftaran elektronik, aplikasi bimbingan ibadah, serta sistem Nusuk sebagaimana didokumentasikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam laporan rasminya telah membuka peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam memudahkan pelaksanaan ibadah haji.

“Teknologi-teknologi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan jemaah, tetapi turut memperkukuh aspek bimbingan, keselamatan dan kelancaran perjalanan ibadah di tanah suci,” katanya.

Menurut Zulkifli, Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan antara model ijtihad institusi yang menggabungkan fiqh dan ekonomi dalam pengurusan kewangan umat Islam Malaysia untuk ke tanah suci.

Katanya, peranan yang dilaksanakan oleh TH membuktikan bahawa institusi itu bukan sahaja berperanan sebagai tabung simpanan umat Islam, tetapi sebagai sistem pengurusan haji yang tersusun dan komprehensif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN