Mayat tentera AS hilang di Maghribi ditemukan - Utusan Malaysia

Mayat tentera AS hilang di Maghribi ditemukan

KENDRICK LAMONT KEY - Tentera AS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT: Mayat salah seorang daripada dua anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan hilang semasa latihan ketenteraan di Maghribi minggu lalu, akhirnya ditemukan, lapor Tentera Darat AS.

Mangsa dikenal pasti sebagai Leftenan Pertama Kendrick Lamont Key Jr., 27, yang merupakan ketua platun dan pegawai artileri pertahanan udara yang berasal dari Richmond, Virginia.

Pasukan mencari dan menyelamat tentera Maghribi menemukan mayat mangsa di pesisir pantai. Kedua-dua askar itu dilaporkan hilang pada 2 Mei lalu.

Susulan penemuan itu, aset darat, udara dan maritim milik AS dan Maghribi terus digerakkan bagi mengesan seorang lagi anggota yang masih hilang.

Panglima Markas Pertahanan Udara dan Peluru Berpandu Tentera Darat ke-10, Brigedier Jeneral Curtis King dalam satu kenyataan menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan pegawai tersebut.

“Seluruh warga kerja Markas Pertahanan Udara dan Peluru Berpandu Tentera Darat ke-10 sedang berkabung. Kami akan terus menyokong satu sama lain serta keluarga mangsa dalam menghargai jasa dan pengorbanan beliau,” katanya.

Kedua-dua anggota tersebut sedang menyertai African Lion 2026, iaitu latihan ketenteraan bersama tahunan terbesar di benua Afrika yang melibatkan kerjasama antara pasukan AS, sekutu Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan negara-negara Afrika. Latihan tersebut dianjurkan merentasi Maghribi, Ghana, Senegal dan Tunisia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN