Mahkamah kurangkan hukuman bekas PM Korea Selatan

Mahkamah kurangkan hukuman bekas PM Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Mahkamah rayuan Korea Selatan pada Khamis mengurangkan hukuman bekas Perdana Menteri, Han Duck Soo sebanyak lapan tahun atas kesalahan berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera oleh bekas Presiden, Yoon Suk Yeol.

Dekri Suk Yeol pada Disember 2024 telah menggantung pemerintahan awam buat seketika dan mencetuskan kekecohan di Korea Selatan, namun hanya berlangsung kira-kira enam jam sebelum ahli Parlimen pembangkang bertindak pantas membatalkannya melalui undian.

Mahkamah rendah sebelum ini pada Januari menjatuhkan hukuman penjara 23 tahun terhadap Duck Soo. Namun, mahkamah rayuan di ibu negara Seoul mengurangkan hukuman itu kepada 15 tahun pada Khamis.

Mahkamah mengekalkan sebahagian besar sabitan terhadap Duck Soo, namun mengurangkan hukuman dengan mengambil kira lebih 50 tahun perkhidmatan beliau sebagai penjawat awam sebelum pengisytiharan undang-undang tentera kontroversi itu.

“Rekod juga menyukarkan untuk membuktikan defendan terlibat secara aktif dalam pemberontakan, seperti berpakat terlebih dahulu atau mengetuai operasi secara sistematik,” kata hakim.

Namun, mahkamah menyatakan Duck Soo telah mengabaikan tanggungjawab berat jawatannya dan sebaliknya berpihak kepada mereka yang terlibat dalam tindakan pemberontakan.

Selepas ahli Parlimen meluluskan usul untuk menamatkan undang-undang tentera, Duck Soo telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet bagi pihak Suk Yeol untuk membatalkannya, kata mahkamah.

Duck Soo, 76, yang memakai kemeja putih dan sut gelap tanpa tali leher, mendengar keputusan itu tanpa menunjukkan banyak emosi.

Hakim turut mengkritik Duck Soo kerana gagal menentang Suk Yeol walaupun pernah menyaksikan penggantungan pemerintahan awam yang tidak sah pada era 1970-an dan 1980-an ketika Korea Selatan berada di bawah pemerintahan autoritarian.

“Beliau pernah mengalami sendiri keadaan darurat dan rampasan kuasa yang tidak berperlembagaan, dan oleh itu sedar sepenuhnya tentang kesan serta kekacauan besar yang boleh berlaku,” katanya.

Duck Soo telah dipenjarakan sejak hukuman asalnya pada Januari.

Bekas teknokrat itu pernah memegang beberapa jawatan penting lain termasuk menteri kewangan dan mahkamah turut menyatakan beliau menerima pelbagai anugerah perkhidmatan kepada negara.

Keputusan itu merupakan sebahagian daripada beberapa siri kes rayuan melibatkan individu rapat dengan Suk Yeol.

Minggu lalu, mahkamah meningkatkan hukuman Suk Yeol kepada tujuh tahun kerana menghalang keadilan, meningkat daripada lima tahun.

Bekas Presiden itu kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan lebih serius iaitu mengetuai pemberontakan.

Isterinya, bekas wanita pertama, Kim Keon Hee, turut mengalami peningkatan hukuman kepada empat tahun penjara atas kes rasuah dan manipulasi saham yang tidak berkaitan dengan dekri undang-undang tentera.

Mahkamah rendah pada awalnya membebaskannya daripada pertuduhan yang kedua itu, namun mahkamah rayuan membatalkan keputusan tersebut minggu lalu, sekali gus menyebabkan hukuman yang lebih berat dikenakan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN