PYONGYANG: Korea Utara merancang menempatkan beberapa jenis senjata baharu di sempadan selatannya, berpotensi meletakkan Seoul dalam lingkungan serangan ketika Pyongyang terus meningkatkan permusuhan terhadap negara jirannya.
Walaupun kerajaan Korea Selatan menghulurkan usaha damai, Korea Utara berulang kali menyifatkan Seoul sebagai musuh utamanya dan baru-baru ini memadam rujukan lama mengenai penyatuan Semenanjung Korea daripada perlembagaannya.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un melawat sebuah kilang persenjataan minggu ini bagi meninjau pengeluaran meriam howitzer jenis baharu.
“Senjata itu mempunyai jarak tembakan melebihi 60 kilometer dan akan ditempatkan tahun ini di unit artileri jarak jauh berhampiran sempadan dengan Korea Selatan.
“Howitzer itu akan memberikan perubahan dan kelebihan besar kepada operasi darat tentera kami,” menurut agensi berita KCNA memetik kenyataan Jong Un.
Pusat Seoul terletak sekitar 50 hingga 60 kilometer dari sempadan, manakala sebahagian besar wilayah Gyeonggi, wilayah paling padat penduduk di Korea Selatan serta menempatkan hab industri utama turut berada dalam lingkungan tembakan.
Sejak tahun lalu, Pyongyang meletupkan jalan raya dan landasan kereta api yang menghubungkannya dengan Korea Selatan serta dipercayai membina penghadang berhampiran sempadan.
Dalam satu lagi petanda pendirian yang semakin tegas, perlembagaannya tidak lagi mengandungi klausa Pyongyang mahu ‘menyatukan tanah air’, sebaliknya memasukkan klausa baharu yang mentakrifkan wilayah Korea Utara memanjang ke utara hingga China dan Russia, serta ke selatan hingga ke ‘Republik Korea’, nama rasmi Korea Selatan.
Bagaimanapun Pejabat Presiden Korea Selatan pada Khamis berkata, pihaknya akan meneruskan usaha damai dengan Pyongyang.-AFP










