WASHINGTON: Sebuah kapal tangki minyak gergasi Iran yang membawa minyak bernilai hampir AS$220 juta (RM873 juta) berjaya mengelakkan usaha sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), menurut laman TankerTrackers.com.
“VLCC (kapal tangki minyak mentah sangat besar) milik Syarikat Kapal Tangki Kebangsaan Iran yang membawa lebih 1.9 juta tong minyak mentah bernilai hampir AS$220 juta berjaya mengelakkan Tentera Laut Amerika dan tiba di Timur Jauh,” tulis TankerTrackers di platform X.
Kapal itu, yang dikenal pasti sebagai ‘HUGE’ (9357183), kali terakhir dikesan di luar pesisir Sri Lanka lebih seminggu lalu dan kini sedang bergerak melalui Selat Lombok menuju ke Kepulauan Riau.
Menurut maklumat penjejakan maritim, kapal tangki itu tidak menghantar isyarat Sistem Pengenalpastian Automatik (AIS) sejak 20 Mac, ketika ia meninggalkan Selat Melaka menuju ke Iran.
Sebelum ini, Trump berkata bahawa Tentera Laut Amerika bertindak seperti lanun ketika beliau menggambarkan operasi merampas sebuah kapal dalam situasi sekatan saling balas terhadap pelabuhan Iran.
“Kami. mendarat di atasnya dan kami mengambil alih kapal itu. Kami ambil kargo, ambil minyak. Ia satu perniagaan yang sangat menguntungkan,” kata Trump pada satu perhimpunan di Florida.
Perbandingan Trump antara operasi tentera laut AS dengan lanun ini berlaku ketika pakar undang-undang memberi amaran mengenai tindakan Iran menyekat laluan penting Selat Hormuz serta rancangannya mengenakan bayaran ke atas kapal yang melaluinya.
Iran secara efektif menutup laluan laut itu. Ia merupakan laluan utama minyak dan gas selepas bermulanya kempen udara AS–Israel terhadap Iran pada 28 Februari.
Amerika pula mengumumkan sekatan ke atas pelabuhan Iran bulan lalu selepas rundingan damai di Pakistan gagal mencapai sebarang kejayaan. – AGENSI/AFP










