MANILA: Kerajaan Filipina pada Khamis mengarahkan polis menangkap seorang senator yang dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung peranannya dalam kempen perang dadah berdarah bekas Presiden, Rodrigo Duterte.
Senator, Ronald Dela Rosa yang pernah berkhidmat sebagai ketua polis negara itu, merupakan antara pelaksana utama kempen perang dadah yang mengorbankan ribuan nyawa di Filipina.
Dela Rosa kini menjadi buruan selepas melarikan diri dari bangunan Senat minggu lalu, beberapa jam selepas insiden tembakan antara ejen kerajaan dan anggota keselamatan Senat.
“Saya ingin mengesahkan agensi penguat kuasa undang-undang Filipina kini ditugaskan untuk melaksanakan penahanan Senator Ronald ‘Bato’ dela Rosa,” kata Setiausaha Kehakiman, Fredderick Vida, kepada wartawan.
ICC minggu lalu membuka waran tangkap terhadap Dela Rosa yang dituduh bersama Duterte dan beberapa pelaku bersama lain atas jenayah terhadap kemanusiaan membabitkan pembunuhan.
Selepas insiden kejar-mengejar dramatik di tangga Senat pada hari sama, ejen kerajaan yang gagal menahannya kemudian menghentikan usaha itu selepas kepimpinan Senat memberikan perlindungan kepadanya.
Vida berkata, keputusan sementara Mahkamah Agung Filipina pada Rabu yang menolak permohonan bekas ketua polis itu untuk mendapatkan perintah sekatan sementara kini membolehkan waran ICC dikuatkuasakan.
“Kami meneruskan usaha ini supaya keadilan dapat ditegakkan,” katanya sambil memberi amaran akan ada akibat terhadap sesiapa yang cuba membantu Dela Rosa mengelak daripada ditahan.
Peguamnya pada Rabu berkata, pihaknya akan merayu keputusan Mahkamah Agung itu.
Duterte ditahan tahun lalu dan kini menunggu perbicaraan di ICC di Hague atas tuduhan berkaitan tindakan keras perang dadahnya.
Kempen perang dadah itu mengorbankan ribuan nyawa, kebanyakannya pengguna dadah dan pengedar kecil dari kawasan setinggan bandar, menurut pemantau hak asasi manusia.
Polis Filipina pula berkata, lebih 6,000 suspek dadah terbunuh dalam operasi sah polis sepanjang pemerintahan Duterte dari 2016 hingga 2022.
Dela Rosa berkhidmat sebagai ketua polis negara dari 2016 hingga 2018 ketika fasa awal kempen antidadah Duterte sebelum dipilih untuk dua penggal enam tahun berturut-turut sebagai senator selepas bersara daripada pasukan polis.-AFP










