China komited beli RM67 bilion produk pertanian AS - Utusan Malaysia

China komited beli RM67 bilion produk pertanian AS

DONALD TRUMP berjumpa dengan Xi Jinping di Beijing minggu lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: China komited untuk membeli sekurang-kurangnya AS$17 bilion (RM67.5 bilion) produk pertanian dari Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2026, 2027 dan 2028, menurut Rumah Putih dalam helaian fakta yang dikeluarkan pada Ahad.

Komitmen itu dibuat semasa pertemuan antara Presiden AS, Donald Trump, dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping, minggu lalu.

Rumah Putih berkata, angka AS$17 bilion itu tidak termasuk komitmen pembelian kacang soya yang dibuat China pada Oktober 2025.

Terdapat penurunan ketara dalam eksport pertanian AS ke China selepas pusingan tarif balas tahun lalu yang mengehadkan perdagangan, dengan jumlahnya jatuh 65.7 peratus tahun ke tahun kepada AS$8.4 bilion (RM33 bilion) pada 2025, menurut data Jabatan Pertanian Amerika.

China mengurangkan secara mendadak kebergantungannya terhadap produk pertanian AS sejak penggal pertama Trump, dengan hanya memperoleh kira-kira 20 peratus import kacang soya dari AS pada 2024, berbanding 41 peratus pada 2016, sebelum beliau kembali memegang jawatan presiden.

China juga akan bekerjasama dengan pihak pengawal selia AS untuk menarik balik penggantungan terhadap fasiliti daging lembu AS dan menyambung semula import ayam dari negeri-negeri AS yang disahkan bebas daripada influenza burung, menurut Rumah Putih.

Mengesahkan kenyataan terdahulu daripada kerajaan China, Rumah Putih pada Ahad berkata, kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu akan menubuhkan Lembaga Perdagangan China-AS dan Lembaga Pelaburan China-Amerika.

Lembaga berkenaan akan menangani isu akses pasaran bagi produk pertanian dan memperluas perdagangan di bawah rangka kerja pengurangan tarif timbal balik, kata Menteri Luar China, Wang Yi, dalam satu kenyataan minggu lalu.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN