Berbulan madu di Tanah Suci

Berbulan madu di Tanah Suci

WAN Amirah Zakirah bersama suami, Nur Fakhri Nur Fazil ketika ditemui di Madinah, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADINAH: Kebahagiaan pasangan pengantin baharu berganda apabila bukan sahaja melayari alam rumah tangga, malah menerima panggilan menunaikan ibadah haji selepas disatukan sebagai suami isteri.

Bagi pasangan itu, berita terpilih sebagai tetamu Allah pada musim haji tahun ini disifatkan sebagai hadiah paling bermakna dalam fasa awal perkahwinan mereka.

Ahli perniagaan, Wan Amirah Zakirah, 27, berkata, dia dan suami pada awalnya tidak menyangka permohonan haji mereka dipermudahkan dalam tempoh singkat selepas mendirikan rumah tangga pada pertengahan 2025.

Katanya, tahun ini sememangnya gilirannya untuk menunaikan haji selepas menunggu sejak 2009.

“Namun saya tidak sangka selepas berkahwin, saya menerima panggilan daripada Tabung Haji (TH) untuk menunaikan haji, manakala suami pula terpilih sebagai pengiring untuk menemani.

“Kami memang berniat tunai haji bersama jika ada rezeki kerana mahu memulakan kehidupan berumah tangga dengan keberkatan.

“Tidak lama kemudian, kami menerima khabar gembira terpilih menunaikan haji tahun ini. Kami sangat terharu kerana merasakan ini aturan terbaik daripada Allah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nur Fakhri Nur Fazil, 28, berkata, peluang menunaikan Rukun Islam Kelima bersama isteri menjadi detik yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Menurutnya, kebanyakan pasangan baharu biasanya merancang berbulan madu ke destinasi pelancongan, namun mereka memilih menjadikan Tanah Suci sebagai lokasi memulakan perjalanan hidup bersama.

Katanya, dia mengakui persiapan sebagai pengantin baharu dan bakal jemaah haji dalam tempoh serentak bukan mudah, namun sokongan keluarga banyak membantu melancarkan urusan.

“Saya memang menyimpan Tabung Haji sejak kecil, tapi sudah dapat panggilan simpanan mencukupi dan bersedia ke tanah suci tahun ini.

“Di sinilah kami belajar erti sebenar membina rumah tangga, bukan sekadar berkongsi bahagia tetapi juga sama-sama mendekatkan diri kepada Allah.

“Semoga pulang nanti, kami bukan sahaja bergelar suami isteri, tetapi suami isteri yang membawa haji mabrur dalam kehidupan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN