AS sedar kekuatan Iran belum lumpuh

AS sedar kekuatan Iran belum lumpuh

SEORANG budak lelaki berpakaian seperti tentera sambil memegang replika senapang semasa perhimpunan solidariti dan sokongan terhadap pemimpin tertinggi Iran baharu, Ayatollah Mojtaba Khamenei di Teheran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Komander tentera Iran didakwa memetakan corak penerbangan jet pejuang dan pengebom Amerika Syarikat (AS) di ruang udara negara itu dengan bantuan Russia dan kini mampu ‘membaca’ pergerakan operasi ketenteraan Washington. 

Menurut pegawai, Iran kini berada dalam kedudukan lebih baik untuk mengatur penempatan sistem pertahanan udaranya selepas berjaya memetakan corak penerbangan pesawat AS.

Menurut laporan The New York Times yang memetik seorang pegawai AS, tahap keupayaan pertahanan udara Iran juga menjadi faktor penting dalam pertimbangan Presiden, Donald Trump untuk menyambung semula serangan ke atas negara berkenaan.

Isnin lalu, Trump mendakwa AS pada awalnya bersedia melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran, namun menangguhkan tindakan itu selepas campur tangan dan rundingan daripada Arab Saudi, Qatar serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kami bersedia melakukan serangan besar dan saya menangguhkannya buat sementara waktu, mungkin selamanya, tetapi juga untuk seketika, kerana kami mengadakan perbincangan besar dengan Iran dan kita akan lihat hasilnya,” kata Trump kepada wartawan.

TEKANAN KEPADA WASHINGTON

Trump dan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, sebelum ini berulang kali mendakwa tentera Iran lumpuh dan tidak lagi mempunyai pertahanan udara berkesan.

Walaupun AS secara umum mampu melaksanakan operasi di ruang udara Iran, pasukannya dilaporkan tidak mempunyai penguasaan penuh.

Beberapa hari sebelum AS dan Iran mencapai gencatan senjata rapuh, Teheran didakwa menembak jatuh sebuah pesawat perang F-15E Strike Eagle, sekali gus mencetuskan operasi besar-besaran AS untuk mendapatkan semula juruterbang pesawat berkenaan.

Pakar berpandangan, jika Iran berjaya menawan juruterbang AS dalam keadaan hidup, ia akan memberi tekanan besar kepada Washington.

Pegawai AS yang dipetik The New York Times berkata, insiden melibatkan pesawat F-15E itu menunjukkan corak penerbangan AS semakin boleh dijangka oleh Iran.

Iran juga dilaporkan semakin hampir untuk berjaya menembak jatuh pesawat perang AS apabila konflik semakin berlarutan.

Pada Mac, sebuah pesawat F-35 dilaporkan mengalami kerosakan akibat tembakan Iran. AS juga dilaporkan kehilangan sekurang-kurangnya 16 dron MQ-9 Reaper di ruang udara Iran, lapor CBS News.

RUSSIA DAN CHINA

The New York Times turut melaporkan, Russia mungkin membantu pasukan Iran bagi membolehkan Teheran menempatkan aset ketenteraan serta sistem pertahan udaranya dengan lebih berkesan.

Iran dan Russia mempunyai hubungan keselamatan yang sekian lama terjalin. Russia juga dilaporkan membantu Iran dengan menyediakan imej satelit melibatkan kapal perang AS serta anggota tentera, menurut beberapa laporan media AS.

Pertahanan udara Iran terdiri daripada gabungan sistem buatan tempatan serta yang dibekalkan oleh Russia dan China.

Middle East Eye merupakan pihak pertama melaporkan China membekal bateri pertahanan udara kepada Iran, susulan perang Jun 2025 yang berakhir dengan pengeboman AS ke atas tiga tapak nuklear Iran.

Kenyataan Trump dan penasihatnya yang mendakwa tentera Iran ‘hancur’ bercanggah dengan beberapa kebocoran perisikan AS yang menunjukkan keupayaan tentera Republik Islam itu berada dalam keadaan lebih baik.

Iran dilaporkan masih memiliki sekitar 70 peratus pelancar peluru berpandu bergerak serta kira-kira 70 peratus stok peluru berpandu yang dimilikinya sebelum perang.

Serangan AS ke atas Iran menyasarkan tapak peluru berpandu yang terletak jauh di dalam gua bawah tanah. 

Iran dilaporkan menggunakan tempoh gencatan senjata untuk membersihkan runtuhan di tapak tersebut, dengan sistem senjata masih kekal utuh, menurut laporan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN