WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memperbaharui gesaan terhadap Jepun, Korea Selatan dan sekutu lain untuk membantu membuka semula Selat Hormuz berikutan ketegangan yang kembali memuncak di Asia Barat.
Langkah ini menyusul selepas inisiatif baharu Presiden, Donald Trump untuk memecahkan kepungan Iran di laluan perdagangan utama tersebut bermula minggu ini.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dalam sidang akhbar di Pentagon menyatakan harapan agar Korea Selatan, Jepun, Australia dan Eropah tampil membantu dalam misi tersebut.
Kelmarin Trump melancarkan Project Freedom bertujuan membimbing kapal komersial yang terkandas melalui laluan sempit itu sebelum mengumumkan menagguhkannya bagi memberi peluang usaha damai.
Setakat ini, hanya dua kapal dagang berbendera AS dilaporkan berjaya melalui laluan air itu dengan iringan tentera di bawah inisiatif tersebut yang mana permulaannya telah mencetuskan pertempuran antara AS dan Iran.
Trump turut mendedahkan pada Isnin bahawa Iran telah melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal kargo Korea Selatan serta sasaran lain yang tidak berkaitan dengan operasi maritim tersebut.
Dalam pada itu, AS dan Iran masing-masing terus mendakwa mempunyai kawalan ke atas koridor perdagangan penting itu.
Sehari sebelum ini, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent turut mendesak China supaya meningkatkan diplomasi dengan Iran memandangkan kuasa besar Asia itu merupakan pembeli utama eksport minyak Iran.
Bagaimanapun, Trump yang dijadualkan melawat Beijing minggu depan untuk bertemu Presiden China, Xi Jinping memberikan kenyataan yang lebih tenang mengenai penglibatan China.
Beliau memberitahu pemberita di Rumah Putih bahawa konflik Iran akan menjadi antara subjek yang akan dibincangkan dan menyifatkan Jinping sebagai seorang pemimpin yang sangat menghormati AS.
Hegseth menegaskan Project Freedom bersifat defensif, mempunyai skop yang terhad serta bersifat sementara.
Beliau turut menyatakan pihak Pentagon masih menganggap gencatan senjata dengan Iran yang dipersetujui sebulan lalu masih belum berakhir, sambil menekankan laluan air tersebut adalah sangat penting bagi ekonomi negara lain. -AGENSI










