PETALING JAYA: Dua lebuh raya utama di Lembah Klang dilaporkan sesak petang ini susulan kejadian banjir kilat sekali gus menjejaskan pengguna jalan raya.
Kejadian pertama dilaporkan kira-kira pukul 4.14 petang di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) melibatkan laluan Kuchai Link menuju ke lebuh raya berkenaan.
Maklumat awal menunjukkan semua lorong terhalang akibat air naik mendadak sekali gus mengakibatkan kenderaan tidak dapat melalui kawasan tersebut.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam hantaran di laman sosial rasmi mereka memaklumkan, satu lagi insiden banjir kilat berlaku di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di Kilometer 48.0 berhampiran Persimpangan Awan Besar arah timur dari Kinrara.
Jelasnya, keadaan sama dilaporkan apabila semua lorong ditutup sepenuhnya, menyebabkan kesesakan trafik sejauh kira-kira empat kilometer.
“Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya lebih berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mempertimbangkan laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan.
“Sehingga kini, tiada laporan mengenai kemalangan atau kecederaan dilaporkan, namun keadaan trafik dijangka terus terjejas selagi air belum surut,” katanya. – UTUSAN










