TEHERAN: Gencatan senjata rapuh di Asia Barat berisiko runtuh selepas Amerika Syarikat (AS) dan Iran melancarkan serangan baharu ketika kedua-dua pihak bergelut untuk menguasai Selat Hormuz.
Lima orang awam terbunuh dalam serangan AS ke atas bot kargo kecil di Selat Hormuz, lapor media Iran semalam. Pembunuhan itu mempertikaikan versi kejadian yang dikemukakan Washington.
Semalam, AS mendakwa tenteranya menenggelamkan sekurang-kurangnya enam bot kecil Iran dan menangkis peluru berpandu jelajah serta dron selepas Presiden Donald Trump menghantar kapal perang tentera laut di selat tersebut.
Ia adalah untuk mengiringi kapal-kapal tangki yang terkandas melalui selat itu dalam satu kempen yang dinamakan ‘Project Freedom’ atau Projek Kebebasan.
KENYATAAN BERCANGGAH
Namun, republik Islam itu menafikan mana-mana kapal tempurnya terkena serangan dan menuduh Washington membunuh lima orang awam yang menaiki bot tersebut.
Agensi berita Tasnim memetik sumber ketenteraan melaporkan, siasatan mendapati tentera AS menyerang dua bot kecil yang membawa muatan dari Khasab di pesisir Oman menuju ke Iran.
“Susulan dakwaan palsu tentera AS yang telah menyasarkan enam bot laju Iran dan memandangkan tiada sebuah pun kapal tempur Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang terkena (serangan), satu siasatan dijalankan untuk meneliti dakwaan tersebut berdasarkan maklumat tempatan,” kata sumber itu.
Lima orang awam yang terbunuh dalam serangan itu merupakan penumpang di atas bot berkenaan, kata sumber ketenteraan itu. Beliaumenyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan ‘tergesa-gesa’ yang didorong oleh ‘ketakutan’ AS terhadap operasi bot laju IRGC.
Markas Pusat AS (CENTCOM) sebelum ini berkata, helikopter Amerika digunakan untuk memusnahkan bot kecil Iran yang mengancam perkapalan komersial dan menyatakan bot-bot tersebut disasarkan dalam usaha memastikan keselamatan laluan di perairan strategik itu.
CENTCOM turut menuduh Iran melancarkan tembakan ke arah kapal perang AS dan kapal komersial pada Isnin.
Konflik serantau itu bermula apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, mencetuskan tindak balas daripada Teheran terhadap Israel serta sekutu Amerika di rantau Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.
Gencatan senjata kemudian berkuat kuasa pada 8 April melalui perantaraan Pakistan. Namun, rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.
Ia kemudian dilanjutkan oleh Trump tanpa tempoh masa yang ditetapkan. Sejak 13 April, AS menguatkuasakan sekatan laut yang menyasarkan pergerakan maritim Iran di Selat Hormuz.
Semalam, pemimpin dunia meningkatkan tekanan terhadap Teheran supaya kekal dengan pendekatan diplomasi bagi menamatkan perang di Asia Barat, selepas gelombang serangan terbaharu di rantau itu menyebabkan gencatan senjata semakin goyah.
Canselor Jerman, Friedrich Merz menggesa Teheran supaya kembali ke meja rundingan dan berhenti menjadikan rantau itu serta dunia sebagai ‘tebusan’, selari dengan seruan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.
Arab Saudi, sekutu utama AS yang infrastruktur tenaganya pernah diserang Iran, turut menyertai seruan pada Selasa untuk meredakan ketegangan dan menggesa usaha diplomatik bagi mencapai penyelesaian politik.
KETEGANGAN BAHAYA
Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekutu rapat AS berkata, negara itu menjadi sasaran serangan peluru berpandu dan dron dari Iran, dengan menyifatkannya sebagai ketegangan baharu yang berbahaya dan pencabulan tidak boleh diterimanya.
Menurut pihak berkuasa UAE, satu serangan yang menyasarkan kemudahan tenaga di Fujairah mencederakan tiga warga India. Katanya, empat peluru berpandu jelajah dilancarkan dengan tiga daripadanya berjaya dipintas dan ditembak jatuh. Sebuah peluru berpandu jatuh ke laut.
Iran turut melancarkan dron ke arah sebuah kapal tangki yang berkaitan dengan syarikat minyak milik kerajaan UAE, ADNOC, kata pihak berkuasa.
Seorang pegawai kanan tentera Iran tidak menafikan serangan tersebut tetapi berkata, republik itu tidak mempunyai program yang dirancang lebih awal untuk menyerang kemudahan minyak berkenaan.
“Apa yang berlaku adalah hasil daripada tindakan ‘pengembaraan’ ketenteraan AS untuk mewujudkan laluan bagi kapal-kapal yang secara tidak sah melalui Selat Hormuz. Tentera AS mesti dipertanggungjawabkan atas perkara itu,” kata pegawai itu, menurut televisyen Iran.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, pertempuran itu menunjukkan tiada penyelesaian ketenteraan kepada krisis politik dan merujuk kepada usaha Pakistan untuk terus menjadi pengantara.
“AS harus berhati-hati daripada terperangkap semula dalam kancah konflik akibat pihak yang berniat jahat. Begitu juga UAE. Projek Kebebasan ialah Projek Kebuntuan,” tulisnya di platform X.
Semalam, CETCOM berkata, kapal pemusnah peluru berpandu berpandu melalui Selat Hormuz dan sebagai langkah pertama dalam projek tersebut, dua kapal dagang berbendera AS telah belayar keluar dari kawasan itu.
Bagaimanapun, IRGC menafikan dakwaan itu dengan menyatakan, tiada kapal dagang atau kapal tangki minyak yang melalui Selat Hormuz dalam tempoh tersebut.
Korea Selatan turut melaporkan satu letupan dan kebakaran berlaku pada sebuah kapal miliknya di selat tersebut.
Seoul melaporkan salah sebuah kapal dagangnya, HMM Namu yang berada di selat tersebut mengalami letupan dan kebakaran di bilik enjin, namun tiada anak kapal yang cedera.
Seorang jurucakap kerajaan Korea Selatan berkata, masih tidak jelas sama ada kebakaran itu berpunca daripada serangan.
Pada Isnin, Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) melaporkan dua kapal turut diserang berhampiran pesisir UAE dan syarikat minyak ADNOC berkata, salah sebauh kapal tangki minyak kosong miliknya terkena serangan dron Iran.
Trump dilihat meremehkan serangan Iran itu, dengan menulis di media sosial bahawa negara itu telah melancarkan beberapa serangan tetapi ia tidak menyebabkan kerosakan besar. – AGENSI










