WASHINGTON: Pentagon membatalkan rancangan menghantar 4,000 anggota tentera ke Poland ketika ketegangan semakin memuncak antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan sekutu Washington berhubung dasar terhadap Iran.
Agensi berita Associated Press melaporkan, sebahagian anggota daripada Briged Tempur Berperisai Kedua, Divisyen Berkuda Pertama bersama kereta kebal Abrams dan kenderaan tempur Bradley sudah tiba di Poland atau sedang dalam perjalanan ketika Pentagon memaklumkan penempatan itu dibatalkan.
Pemangku Ketua Staf Tentera Darat AS, Jeneral Christopher LaNeve memberitahu Kongres, Ketua Pemerintahan Eropah AS menerima arahan mengenai pengurangan pasukan.
“Adalah lebih masuk akal untuk briged itu tidak ditempatkan di kawasan operasi,” katanya.
Perdana Menteri Poland, Donald Tusk cuba meredakan kebimbangan dengan berkata, beliau sudah menerima jaminan keputusan itu bersifat logistik.
Menteri Pertahanan Poland, Wladyslaw Kosiniak-Kamysz pula berkata, pengurangan itu berkait dengan perubahan yang diumumkan sebelum ini terhadap kehadiran sebahagian angkatan tentera AS di Eropah.
Lebih 10,000 anggota tentera AS kini ditempatkan di Poland secara bergilir-gilir.
Sebelum ini Trump sering menuduh anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) gagal membelanjakan secukupnya untuk pertahanan.
Namun Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth baru-baru ini menyifatkan Poland sebagai ‘sekutu contoh’ selepas negara itu membelanjakan kira-kira 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pertahanan tahun lalu, lebih tinggi berbanding anggota NATO lain.
Awal Mei lalu, Pentagon turut mengumumkan pengunduran 5,000 anggota daripada kira-kira 38,000 tentera AS yang ditempatkan di Jerman. – AGENSI










