TEHERAN: Seramai 14 anggota tentera Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) terbunuh pada Jumaat ketika menjalankan operasi memusnahkan bahan letupan yang tidak meletup di wilayah Zanjan, barat laut Iran, menurut laporan media tempatan.
Lapor agensi berita Fars, serangan udara musuh menggunakan bom kluster dan periuk api udara, dengan sebahagian wilayah Zanjan termasuk kira-kira 1,200 hektar tanah pertanian tercemar dan berbahaya akibat bom.
Pasukan pakar IRGC sedang menjalankan kerja pembersihan kawasan tersebut dan telah berjaya memusnahkan lebih 15,000 objek berbahaya, menurut laporan itu.
“Namun hari ini, dalam salah satu misi tersebut, 14 anggota pasukan ini terbunuh dan 2 lagi cedera,” katanya.
Iran menuduh AS dan Israel menggunakan senjata kluster, iaitu senjata yang meletup di udara dan menyebarkan bom kecil, di mana sebahagiannya gagal meletup dan kekal berbahaya untuk tempoh yang lama.
Israel juga pernah menuduh Iran menggunakan senjata sama dalam serangan peluru berpandu ke atas bandar-bandar di Israel.
Iran, Israel dan AS tidak menyertai lebih 100 negara lain yang menjadi pihak kepada Konvensyen Senjata Kluster 2008, yang melarang penggunaan, pemindahan, pengeluaran dan penyimpanan senjata tersebut.










