SYDNEY: Seorang wanita akan mengetuai tentera darat Australia buat pertama kali sejak penubuhannya 125 tahun lalu, kata Menteri Pertahanan, Richard Marles pada Isnin.
Beliau mengumumkan pelantikan itu yang disifatkan sebagai sangat bersejarah.
Wanita itu, Leftenan Jeneral Susan Coyle dilantik sebagai Ketua Tentera Darat Australia selepas kerjaya selama tiga dekad, di mana beliau berkhidmat di Kepulauan Solomon, Afghanistan dan Asia Barat.
“Beliau akan menjadi wanita pertama yang memimpin satu cabang perkhidmatan dalam sejarah Australia,” kata Marles kepada wartawan.
“Ini adalah detik yang sangat bersejarah. Seperti yang Susan (Coyle) perkatakan kepada saya, anda tidak boleh menjadi apa yang anda tidak boleh lihat,” tambahnya.
Tentera Darat Australia kini sedang melalui fasa transformasi besar-besaran, dengan persediaan melibatkan senjata jarak jauh, dron dan alat tempur moden lain.
Coyle menyatakan tentang pengalamannya dalam bidang seperti peperangan siber.
“Skop pengalaman ini memberikan asas kukuh untuk tanggungjawab kepimpinan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya. – AFP










