DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menarik diri daripada kartel minyak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum ( OPEC) dan OPEC+.
Penarikan itu adalah bagi memberi tumpuan kepada kepentingan negara, menurut satu kenyataan pada Selasa.
Ia merupakan satu pengumuman mengejut ketika harga tenaga melonjak akibat perang di Asia Barat.
UAE, salah satu pengeluar minyak terbesar dunia yang sebelum ini pernah menolak kuota pengeluaran OPEC, akan menarik diri pada Jumaat, menurut kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi WAM.
“Keputusan ini mencerminkan visi strategik dan ekonomi jangka panjang UAE serta profil tenaga yang semakin berkembang,” menurut kenyataan itu.
“Sepanjang tempoh kami dalam organisasi ini, kami telah memberikan sumbangan besar dan pengorbanan yang lebih besar demi manfaat bersama.
“Namun, kini tiba masanya untuk kami menumpukan usaha kepada apa yang dituntut oleh kepentingan negara kami,” tambah kenyataan tersebut.
Penghantaran minyak dari Teluk ketika ini terjejas teruk akibat sekatan Iran di Selat Hormuz, yang melalui UAE dan biasanya membawa satu perlima daripada bekalan minyak dunia.
UAE, yang terkesan teruk oleh serangan Iran, turut berdepan cabaran dalam hubungannya dengan negara jiran berpengaruh, Arab Saudi, pengeluar minyak terbesar dunia dan kuasa dominan dalam OPEC. – AFP










