FUNAFUTI: Negara kepulauan kecil Pasifik, Tuvalu, telah mengisytiharkan darurat pada Isnin berikutan risiko terhadap bekalan bahan api negara itu yang berpunca daripada konflik di Asia Barat. Situasi tersebut mendedahkan masalah bekalan tenaga yang dihadapi oleh antara negara terkecil dan paling terpencil di dunia itu.
Ketua Negara, Tofiga Vaevalu Falani, mengumumkan langkah tersebut yang dikhususkan bagi kawasan Funafuti, iaitu pulau utama merangkap ibu negara yang menampung kira-kira dua pertiga daripada 10,000 penduduk Tuvalu.
Keputusan itu dicapai bersama Perdana Menteri, Feleti Penitala Teo selepas mengambil kira ketidakstabilan sistem penjanaan dan pengagihan elektrik serta ancaman rantaian bekalan yang menjejaskan perkhidmatan penting.
Pengisytiharan darurat itu memberi kuasa luas kepada kerajaan untuk mengawal ketat penggunaan bahan api serta menyekat perjalanan bagi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu.
Menurut Falani, langkah segera itu perlu diambil bagi melindungi kebajikan awam dan memastikan akses saksama kepada perkhidmatan kritikal memandangkan Funafuti merupakan pusat pentadbiran negara.
Tuvalu merupakan negara keempat terkecil di dunia. Negara ini sangat bergantung kepada barangan import dan sejak sekian lama bergelut dengan tekanan perubahan iklim, kenaikan paras laut, serta kerapuhan rantaian bekalan yang menjadikan jaminan tenaga sebagai kebimbangan nasional kronik.
Krisis ini turut menonjolkan jurang antara matlamat tenaga boleh baharu Tuvalu dengan realiti semasa. Walaupun negara itu menyasarkan penggunaan 100 peratus tenaga suria menjelang 2030 bagi menamatkan kebergantungan kepada diesel, peralihan tersebut masih belum selesai dan bahan api fosil tetap menelan sebahagian besar bajet tahunan negara.
Data belanjawan menunjukkan bahawa pada tahun 2021, Tuvalu membelanjakan jumlah yang setara dengan 70 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk bahan api fosil. Walaupun angka tersebut telah menurun kepada kira-kira 25 peratus, negara itu tetap terdedah kepada kejutan pasaran tenaga global.
Keadaan darurat ini membuktikan bagaimana konflik yang berlaku ribuan kilometer jauhnya boleh memberi kesan rantaian kepada negara pulau kecil yang tidak mempunyai kemampuan untuk melindungi diri daripada gangguan perkapalan global atau rantaian bekalan. – AGENSI










