SINGAPURA: Pengendali ambulans swasta di Singapura kini menimbang untuk memperkenalkan surcaj bahan api bagi menangani lonjakan harga diesel, ekoran konflik di Asia Barat yang menjejaskan rantaian bekalan minyak global.
Beberapa penyedia perkhidmatan memaklumkan kepada laman berita CNA bahawa perbelanjaan berkaitan diesel telah melonjak sejak perang di Iran meletus pada akhir Februari lalu.
Situasi ini telah meningkatkan kos operasi dan memberi tekanan kepada kelangsungan perkhidmatan mereka.
Pengendali terbabit merupakan syarikat swasta berlesen di bawah Kementerian Kesihatan (MOH) yang menyediakan pengangkutan dan penjagaan perubatan kecemasan tetapi bukan untuk kecemasan.
Mereka berkhidmat untuk pesakit seperti warga emas dan golongan kurang upaya pergerakan yang perlu ke hospital, pusat perubatan mahupun yang perlu merentas sempadan ke Malaysia untuk rawatan atau pemeriksaan.
Sejak perang bermula Iran bermula, harga diesel di stesen minyak telah meningkat kira-kira 70 peratus kepada sekitar SGD$4.50 (RM13.96) seliter.
Lentor Ambulance mengumumkan pada bulan lalu bahawa surcaj bahan api akan dikenakan bagi semua tempahan bermula 1 April susulan peningkatan kos diesel tersebut.
Bagaimanapun, syarikat itu enggan mengulas lanjut ketika dihubungi media mengenai jumlah atau kaedah pelaksanaan surcaj tersebut.
Beberapa perkhidmatan ambulans swasta lain menyatakan mereka masih menyerap kos peningkatan tersebut buat masa ini. Namun, ia tidak menolak kemungkinan terpaksa mengambil tindakan sama sekiranya kos terus meningkat.
“Kami memilih untuk tidak memperkenalkan surcaj bahan api buat masa ini kerana mahu memastikan perkhidmatan kami kekal mampu diakses oleh pesakit yang memerlukan,” kata Pengarah Medivac Emergency Ambulance Service, Daryn Lim.
“Selagi boleh, kami akan menyerap peningkatan kos operasi ini berbanding meletakkan beban tersebut secara terus kepada pesakit dan ahli keluarga mereka,” tambahnya. – AGENSI










