Trump tingkat tekanan ke atas Iran - Utusan Malaysia

Trump tingkat tekanan ke atas Iran

GAMBAR disediakan laman rasmi IRGC menunjukkan serpihan pesawat yang disasarkan dan terhempas di tengah Iran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Israel meningkatkan tekanan ke atas Iran untuk membuka Selat Hormuz yang strategik atau berdepan serangan ke atas infrastruktur tenaga negara itu dan menjadikannya sebagai neraka dunia.

Sejak konflik bermula dengan pengeboman bersama AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari, Trump memberi amaran kepada Teheran tempoh akhir untuk mencapai rundingan bagi menamatkan perang semakin hampir.

“Ingat ketika saya memberi Iran sepuluh hari untuk membuat perjanjian atau membuka Selat Hormuz. Masa semakin suntuk, 48 jam sebelum semua neraka turun ke atas mereka!” tulisnya di platform Truth Social.

Beliau kemudian menunda sekali lagi tempoh akhir itu dan kini berakhir pada pukul 8 malam Isnin (waktu tempatan).

MESEJ KABUR

Mesej Trump memberi petanda kabur antara memberi petunjuk tentang kemungkinan rundingan diplomatik dan mengancam untuk mengebom Iran hingga ia kembali ke zaman batu.

Dalam langkah jelas untuk menambah tekanan kepada Teheran selepas tuntutan Trump, seorang pegawai kanan pertahanan Israel berkata, rejim itu sedang bersiap sedia untuk menyerang fasiliti tenaga Iran dan menunggu kelulusan daripada AS. 

Pegawai itu berkata, serangan boleh dijalankan dalam masa seminggu akan datang. Trump sebelum ini pernah mengancam untuk menyerang loji tenaga Iran jika tuntutannya tidak dipenuhi.

Iran memberi amaran kepada AS dan Israel seluruh rantau Asia Barat akan bertukar menjadi neraka bagi mereka sekiranya serangan meningkat, menurut laporan media Iran.

Washington menghadapi risiko tinggi ketika konflik memasuki minggu keenam. Peluang rundingan damai yang tipis dan undian pendapat yang jelas menunjukkan sokongan rakyat terhadap perang itu sangat rendah.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi membuka pintu secara prinsip untuk rundingan damai dengan AS melalui pengantaraan Pakistan, tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda kesediaan Teheran untuk menurut tuntutan Trump.

“Kami amat berterima kasih kepada Pakistan atas usaha mereka dan tidak pernah menolak untuk pergi ke Islamabad. 

“Apa yang penting bagi kami ialah syarat untuk penamatan yang menyeluruh dan berterusan terhadap perang haram yang dikenakan ke atas kami,” katanya di platform X.

Selepas serangan keempat berhampiran loji tenaga Bushehr pada Sabtu, Araqchi memberi amaran dalam surat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang situasi tidak boleh diterima yang menimbulkan risiko serius ‘pelepasan radiologi’, menurut media rasmi Iran.

JURUTERBANG PESAWAT AS

Semalam, Trump mendakwa seorang lagi anggota udara yang ditembak jatuh di dalam Iran berada dalam keadaan selamat dan sihat selepas operasi mencari dan menyelamat.

Media AS melaporkan pada Jumaat, pasukan khas AS berjaya menyelamatkan salah seorang daripada dua juruterbang F-15 yang ditembak jatuh, jet pejuang Washington pertama yang terhempas di dalam Iran sejak perang bermula.

“Dalam beberapa jam lalu, tentera AS telah melaksanakan salah satu operasi mencari dan menyelamat yang paling berani dalam sejarah AS. Walaupun cedera, kolonel itu akan (berada dalam keadaan) baik-baik sahaja,” kata Trump dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt di laman X.

Beberapa pesawat telah musnah semasa misi menyelamat AS itu, kata Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Ahad, menurut agensi berita Tasnim

Seorang jurucakap tentera Iran berkata, sebuah pesawat pengangkut tentera C-130 dan dua helikopter Black Hawk termasuk dalam pesawat telah terhempas.

Media rasmi Iran melaporkan tentera Iran melancarkan dron ke atas pemasangan radar AS, sebuah kilang aluminium yang berkaitan AS di Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta ibu pejabat tentera AS di Kuwait, sebagai balasan terhadap serangan maut ke atas pusat industri Iran.

DRON IRAN

Media rasmi Kuwait, memetik Kementerian Kewangan melaporkan, sebuah dron Iran menyerang kompleks pejabat kementerian kerajaan, mengakibatkan kerosakan yang ketara namun tiada korban.

Sebelum ini, Iran menyerang sebuah kapal yang dikaitkan dengan Israel menggunakan dron di Selat Hormuz, menyebabkan kapal itu terbakar, menurut media rasmi memetik komander tentera laut IRGC.

Infrastruktur kritikal di seluruh rantau Teluk menjadi sasaran serangan Iran pada Ahad, dengan kerosakan dilaporkan di kemudahan awam di UAE, Bahrain dan Kuwait.

Negara-negara Teluk telah berdepan serangan dron dan peluru berpandu berulang kali dari Iran sejak beberapa minggu lalu sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel yang bermula pada penghujung Februari lalu.

KAWALAN BAHARU

Laporan risikan terkini AS memberi amaran Iran tidak mungkin membuka Selat Hormuz dalam masa terdekat kerana kawalannya ke atas laluan minyak paling penting di dunia itu merupakan satu-satunya kelebihan sebenar yang dimilikinya terhadap Washington, menurut tiga sumber yang mengetahui perkara berkenaan.

Penemuan yang dilaporkan Reuters itu mencadangkan Teheran boleh terus menyekat selat tersebut untuk mengekalkan harga tenaga tinggi sebagai cara memberi tekanan kepada Trump, supaya mencari jalan segera menamatkan perang.

Laporan itu juga memberikan petunjuk terkini bahawa perang yang bertujuan untuk memusnahkan kekuatan ketenteraan Iran, mungkin sebenarnya meningkatkan pengaruh serantau Teheran dengan menunjukkan keupayaannya mengancam laluan air penting itu.

Bagaimanapun, penganalisis telah lama memberi amaran cubaan untuk menggunakan kekerasan terhadap Iran yang menguasai satu sisi terusan, boleh menjadi mahal dan mengheret AS ke dalam perang darat yang berpanjangan.

“Teheran sedar keupayaannya mempengaruhi pasaran tenaga dunia melalui kawalannya ke atas terusan itu ‘lebih berkuasa’ berbanding senjata nuklear,” kata Pengarah Projek Iran di Organisasi Pencegahan Konflik International Crisis Group, Ali Vaez. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN