WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Ahad bahawa seorang anggota tentera udara yang diselamatkan dari Iran selepas pesawat perangnya ditembak jatuh berada dalam keadaan cedera parah.
Trump menambah bahawa beliau akan mengadakan sidang media pada hari berikutnya.
“Kami telah menyelamatkan anggota kru/pegawai F-15 yang cedera parah dan sangat berani itu dari jauh di kawasan pergunungan Iran,” kata Trump di platform Truth Social miliknya.
Trump sebelum ini menggambarkan anggota tersebut hanya cedera dan selamat.
“Saya akan mengadakan sidang media bersama pihak tentera di Pejabat Oval (Rumah Putih) pada Isnin, pukul 1 petang (waktu tempatan)),” tulisnya.
Teheran berkata, pihaknya telah menembak jatuh pesawat perang F-15 milik AS.
Sebelum ini, media AS melaporkan pasukan khas Amerika telah berjaya menyelamatkan seorang daripada dua anak kapal pesawat itu. Namun, seorang lagi kemudian diselamatkan oleh tentera AS.
Tentera Iran turut memaklumkan bahawa mereka telah menembak jatuh sebuah lagi pesawat serangan darat A-10 milik AS di Teluk tetapi media Amerika melaporkan juruterbangnya berjaya diselamatkan.
Perang itu tercetus lebih sebulan lalu susulan serangan bersama AS dan Israel ke atas Iran yang mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei pada 28 Februari lalu.
Ia kemudian mencetuskan tindak balas yang merebak ke seluruh Asia Barat, menggoncang ekonomi global dan menjejaskan jutaan penduduk di seluruh dunia. – AFP










