Perancis rangka tambah simpanan dron kamikaze - Utusan Malaysia

Perancis rangka tambah simpanan dron kamikaze

Gambar fail menunjukkan sebuah dron di kilang Survey Copter, sebuah anak syarikat Airbus, di Pierrelatte, selatan Perancis pada 31 Mac 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perancis sedang mempertingkatkan kesiapsiagaan tenteranya dengan sasaran untuk melipatgandakan simpanan dron kamikaze dan memperluas simpanan peluru berpandu secara drastik menjelang akhir dekad ini.

Menurut portal berita Politico, langkah itu terkandung dalam draf undang-undang perancangan ketenteraan yang menyifatkan usaha tersebut sebagai persediaan ke arah perang ekonomi.

Menerusi dokumen setebal 64 muka surat yang akan dibentangkan oleh kerajaan minggu ini, wakil-wakil rakyat Perancis merancang untuk memberi tumpuan untuk meningkatkan bilangan senjata berbanding menambah anggota tentera. 

Langkah itu diambil setelah mengambil iktibar daripada konflik di Asia Barat yang telah menyusutkan stok senjata Barat pada kadar yang membimbangkan.

Berdasarkan draf berkenaan, stok munisi seperti dron kamikaze dijangka meningkat sebanyak 400 peratus.

Bom panduan AASM Hammer buatan Safran bakal ditambah sebanyak 240 peratus. 

Selain itu, simpanan peluru berpandu Aster dan Mica juga akan dipertingkat sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030.

Pelaburan besar ini akan disalurkan melalui pembiayaan bersama kapasiti pengeluaran utama bagi memastikan industri pertahanan tempatan mampu memenuhi keperluan mendesak.

Cadangan tersebut menyaksikan bajet pertahanan Perancis akan meningkat secara berperingkat, daripada €63.3 bilion (RM293.98 bilion) pada 2027 kepada €76.3 bilion (RM354.35 bilion) menjelang 2030. 

Bagaimanapun, jumlah tersebut masih memerlukan kelulusan Parlimen pada setiap tahun.

Menariknya, Perancis dilaporkan tidak merancang untuk menambah saiz angkatan tentera atau membeli aset besar tambahan seperti pesawat Rafale atau kapal frigat buat masa ini.

Paris juga dipercayai telah menangguhkan projek Eurodrone iaitu program pengintipan jarak jauh bersama Jerman, Itali, dan Sepanyol kerana tiada dana diperuntukkan bagi projek yang sering tertangguh itu. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN