WASHINGTON: Setiausaha Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), John Phelan akan meninggalkan jawatan serta-merta, umum Jabatan Pertahanan atau Pentagon pada Rabu, tanpa memberikan penjelasan mengenai pengunduran mengejut itu.
Pemergian Phelan menyusuli penyingkiran pegawai tertinggi tentera darat AS, Jeneral Randy George dan dua pegawai kanan lain awal bulan ini, ketika AS masih terlibat dalam perang dengan Iran yang belum menunjukkan penyelesaian.
Phelan meninggalkan pentadbiran, berkuat kuasa serta-merta, kata jurucakap Pentagon, Sean Parnell dalam satu kenyataan di platform X.
Tambah Pentagon, jawatannya akan dipangku oleh Timbalan Setiausaha, Hung Cao.
Sejak kembali memegang jawatan awal tahun lalu, Presiden AS, Donald Trump telah menyelia pembersihan besar-besaran dalam kalangan pegawai tertinggi tentera, termasuk Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Charles Q. Brown yang dipecat tanpa penjelasan pada Februari 2025.
Pegawai kanan lain yang diberhentikan termasuk Ketua Tentera Laut dan Pengawal Pantai AS.
Turut diberhentikan ialah pegawai tinggi tentera berpangkat jeneral yang mengetuai Agensi Keselamatan Negara, timbalan ketua staf tentera udara, seorang laksamana tentera laut yang ditugaskan ke Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan tiga peguam kanan tentera.
Ketua Staf Tentera Udara AS juga mengumumkan persaraannya tanpa penjelasan hanya dua tahun dalam tempoh perkhidmatannya selama empat tahun.
Dalam pada itu, Ketua Markas Selatan Tentera AS bersara selepas setahun memegang jawatan.
Hegseth menyatakan bahawa presiden hanya memilih pemimpin yang dikehendakinya, namun wakil-wakil rakyat parti Demokrat telah menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan tentera AS dipolitikkan yang secara tradisinya berkecuali.
Tahun lalu, ketua Pentagon itu turut mengarahkan pengurangan sekurang-kurangnya 20 peratus jumlah jeneral dan laksamana empat bintang yang aktif dalam tentera AS selain pengurangan 10 peratus dalam jumlah keseluruhan pegawai berpangkat jeneral serta laksamana. – AFP










