WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) yang dikuasai Republikan menyekat satu resolusi pimpinan Demokrat yang bertujuan menghalang Presiden, Donald Trump daripada melakukan tindakan ketenteraan terhadap Cuba tanpa kelulusan Kongres.
Senat mengundi 51-47, hampir sepenuhnya mengikut garis parti, dalam satu undian prosedur yang menyekat resolusi kuasa perang tersebut. Ahli Republikan berhujah, tiada konflik ketenteraan aktif AS dengan Cuba.
Senator Republikan, Rick Scott dari Florida yang mengemukakan usul prosedur untuk menghentikan resolusi itu, berkata, undian kuasa perang tidak sesuai kerana Trump tidak mengerahkan tentera.
Senator Demokrat, Tim Kaine dari Virginia, salah seorang penaja utama cadangan itu, berhujah, usaha AS untuk menghentikan penghantaran bahan api ke pulau yang diperintah komunis itu sebenarnya merupakan bentuk tindakan ketenteraan.
“Jika sesiapa melakukan kepada AS apa yang kita lakukan kepada Cuba, kita pasti akan menganggapnya sebagai tindakan perang,” kata Kaine dalam ucapan di Senat sebelum undian.
Di bawah pentadbiran Trump, tentera AS telah melancarkan serangan ke atas bot di luar Venezuela dan masuk ke Caracas untuk menahan Presidennya, Nicolas Maduro, serta bersama Israel melancarkan perang terhadap Iran sejak 28 Februari, semuanya tanpa kebenaran Kongres.
Trump juga pernah berkata, ‘Cuba adalah negara seterusnya’. Beliau tidak menjelaskan secara terperinci apa yang dirancang terhadap negara itu, tetapi sering menyatakan kerajaan Cuba berada di ambang kejatuhan.
Demokrat berulang kali gagal di Senat dan Dewan Perwakilan untuk memaksa Trump mendapatkan kelulusan Kongres bagi operasi ketenteraan.
Republikan yang memegang majoriti kecil di kedua-dua dewan hampir sebulat suara menolak resolusi tersebut, menuduh Demokrat cuba menggunakan Akta Kuasa Perang untuk melemahkan Trump.
Walaupun Perlembagaan AS menyatakan Kongres, bukan Presiden, mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan perang, sekatan itu tidak terpakai bagi operasi jangka pendek atau bagi menangani ancaman segera.
Rumah Putih berkata, tindakan Trump adalah dalam hak dan tanggungjawab beliau sebagai ketua komander untuk melindungi AS.-AFP









