Aminuddin teruskan tugas hingga keputusan lain dibuat

Aminuddin teruskan tugas hingga keputusan lain dibuat

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri secara sokongan minoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga satu keputusan lain dibuat kelak. 

Katanya, pada masa ini beliau akan bertugas seperti biasa sebagai Menteri Besar dengan memberi tumpuan kepada negeri dan rakyat.  

Apabila sampai masanya kelak, tegasnya, beliau akan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan pucuk pimpinan parti.  

“Saya sedia menerima sebarang keputusan termasuk kedudukan sebagai Menteri Besar.

“Pagi tadi saya telah menghadap Tuanku Muhriz memaklumkan untuk meneruskan mesyuarat Exco. Baginda telah bersetuju dan mesyuarat Exco telah diadakan bagi membincangkan keperluan-keperluan rakyat harus yang perlu didahulukan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Mesyuarat itu adalah yang pertama selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) mengisytiharkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar.

Serentak itu, empat ADUN UMNO iaitu Datuk Seri Jalaluddin Alias, Datuk Ismail Lasim, Datuk Mustapha Nagoor dan Datuk Mohd. Faizal Ramli hilang jawatan sebagai ahli mesyuarat kerajaan negeri.

 Menurutnya, mesyuarat tersebut berjalan seperti biasa dengan kehadiran enam ahli Exco.  

 Tambahnya, ketiadaan Exco daripada UMNO tidak menjejaskan perjalanan mesyuarat tersebut.  

 Mengenai permohonan mengadakan persidangan khas DUN seperti yang diminta oleh UMNO negeri, Aminuddin berkata, beliau tiada maklumat mengenainya kerana menunggu kebenaran daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. 

 Aminuddin turut ditanya perkembangan penyelesaian kemelut antara istana dan Undang Yang Empat. 

 Jelasnya, ia sedang ditangani dan menyerahkan kepada semua pihak tersebut mencari jalan penyelesaian terbaik. 

“Saya tidak boleh sebut perkembangan semasa penyelesaian tersebut,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN