KUALA LUMPUR: Syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) yang berpangkalan di Pulau Pinang, SkyeChip Berhad menyasarkan untuk meraih dana sebanyak RM352 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama.
Nilai permodalan pasaran syarikat dianggarkan mencecah RM1.58 bilion selepas penyenaraian pada 20 Mei ini.
Menerusi terbitan awam sebanyak 400 juta saham baharu pada harga 88 sen sesaham, kumpulan memperuntukkan 60 peratus daripada hasil tersebut bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membangunkan token harta intelek (IP) silikon proprietari serta produk silikon.
IPO itu hanya melibatkan penerbitan saham baharu tanpa sebarang tawaran jualan saham sedia ada oleh pemegang saham semasa dengan semua hasil diraih akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyeChip Berhad, Datuk Fong Swee Kiang berkata, langkah tersebut sejajar dengan usaha syarikat untuk meletakkan negara di peta industri semikonduktor dunia.
“Kami berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab reka bentuk IC yang teraju di rantau ini.
“Langkah ini juga selari dengan visi kerajaan menerusi konsep ‘Bina di Malaysia’ yang kini diperluaskan kepada ‘Reka Bentuk oleh Malaysia’,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran prospektus itu di sini, hari ini.
Menurutnya, syarikat mengalu-alukan program strategik seperti inisiatif Custom Silicon Stack (CSS) yang diperkenalkan kerajaan kerana dilihat memberikan penjimatan kos pelesenan IP CSS yang tinggi di pasaran.
“Syarikat telah menerima surat kelulusan tawaran inisiatif CSS tersebut dan kini sedang dalam proses memperhalusi terma serta syarat bersama pihak kerajaan.
“Kelangsungan industri semikonduktor sangat bergantung kepada tiga faktor utama iaitu bakat, teknologi dan pasaran di samping sokongan teguh pihak kerajaan,” katanya.
Katanya, pihak industri harus bersedia menawarkan tangga gaji peringkat tertinggi yang cukup kompetitif di pasaran bagi menarik lebih ramai pelajar tempatan menceburi jurusan reka bentuk IC.
“Walaupun populasi Malaysia tidak mampu menyaingi skala negara seperti China atau India, Malaysia masih berpotensi besar memahat nama dalam landskap teknologi global,” tambahnya.
Permohonan untuk IPO itu dibuka sehingga 6 Mei 2026. Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, ketua pelaksana buku, pengurus penaja jamin dan penaja jamin bersama bagi proses IPO ini. – UTUSAN








