Bean Here! buka cawangan baharu di KPTM Ipoh - Utusan Malaysia

Bean Here! buka cawangan baharu di KPTM Ipoh

PELANGGAN membuat pesanan di cawangan kafe Bean Here! terbaharu di KPTM Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama kafe tempatan, Bean Here! Coffee & Pastries (Bean Here!) membuka cawangan baharu di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh bagi menawarkan pengalaman kafe berkualiti kepada warga kampus serta komuniti setempat.

Pembukaan itu mencerminkan usaha berterusan pemiliknya, Silver Lifestyle Sdn. Bhd. (Silver Lifestyle), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dalam memperkasa jenama tempatan serta mendekati segmen belia yang menjadi penyumbang utama perbelanjaan gaya hidup.

Pengarah Silver Lifestyle, Nur Ismail Mohammed berkata, strategi pengukuhan dan peluasan jenama Bean Here! dirangka bagi meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong pertumbuhan jangka panjang.

“Strategi ini memberi tumpuan kepada perlindungan pelaburan sedia ada, pelaburan strategik dan pengurusan kewangan lebih efisien, di samping memanfaatkan potensi pasaran bagi memastikan pertumbuhan mampan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Silver Lifestyle yang juga bertanggungjawab dalam operasi dan pemasaran Bean Here!, Harris Mohd. Rodzi berkata, jenama itu turut memperkenalkan menu baharu seperti Chicken Tenders, Nachos, Black Forest Spanish Latte dan Cinnamon Latte.

“Penawaran ini lebih segar, pantas dan berpatutan bagi memenuhi citarasa golongan belia yang mengutamakan pengalaman santai dan berkualiti.

“Kami juga sedang menilai peluasan secara berfasa ke lokasi berpotensi tinggi seperti terminal KTM serta institusi pengajian tinggi sekitar Ipoh termasuk UniKL,” katanya.

Sejak memulakan operasi pada 2020, Silver Lifestyle mengamalkan pendekatan perniagaan dinamik dan adaptif mengikut keperluan pasaran, termasuk pembaharuan menu secara berkala serta penyesuaian format operasi berdasarkan lokasi dan profil pelanggan.

Bermula di Perak Techno Trade Centre (PTTC), jenama itu menerima sambutan positif sekali gus menjadi asas kukuh kepada peluasan operasi.

Kini, Bean Here! beroperasi melalui tiga model utama iaitu Kiosk Uber Concept, Café Swanky Bar dan Kiosk Petite bagi memenuhi keperluan pasaran yang pelbagai.

Kehadirannya di beberapa lokasi seperti PTTC, Hotel Casuarina@Meru, Bulatan Sultan Azlan Shah dan terbaharu di KPTM membuktikan keupayaan jenama itu menyesuaikan penawaran mengikut persekitaran merangkumi komuniti bandar, sektor hospitaliti dan institusi pendidikan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Radzuan Razali berkata, pembukaan kafe itu bukan sekadar menyediakan minuman, malah berfungsi sebagai ruang santai untuk pembelajaran dan interaksi pelajar.

“Ruang di aras bawah ini memang didedikasikan untuk pelajar belajar, berdiskusi dan menjalankan aktiviti komuniti termasuk seni dan muzik. Kehadiran kafe ini dijangka memeriahkan lagi fungsi ruang tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN