Rundingan akhir lengkapkan bahagian kritikal Perjanjian Pandemik bermula

Rundingan akhir lengkapkan bahagian kritikal Perjanjian Pandemik bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Satu minggu tambahan rundingan bermula pada Isnin di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi melengkapkan bahagian penting yang masih belum dimuktamadkan dalam perjanjian antarabangsa mengenai pengurusan pandemik masa depan, ketika perbezaan pendapat besar masih menghalang persetujuan dicapai.

Negara kaya dan negara membangun masih berselisih pandangan dalam rundingan WHO mengenai bagaimana perjanjian pandemik yang telah diterima pada tahun lalu akan dilaksanakan secara praktikal.

Perjanjian itu merangkumi sistem Akses Patogen dan Perkongsian Manfaat (PABS), yang mengawal perkongsian akses kepada patogen berpotensi pandemik serta perkongsian manfaat daripadanya seperti vaksin, ujian saringan dan rawatan.

Menurut Ketua Saintis WHO, Sylvie Briand, negara membangun meluahkan ketidakpercayaan kerana bimbang mereka akan berkongsi virus tanpa jaminan akses adil kepada vaksin semasa krisis.

Sementara itu, negara lain mempersoalkan sama ada industri farmaseutikal akan mempunyai kemampuan dan insentif untuk menyumbang tanpa jaminan pulangan pelaburan.

Cabaran lain ialah menggabungkan perkongsian data genetik, yang kini sama penting dengan perkongsian virus fizikal dalam pembangunan vaksin, rawatan dan diagnostik.

Rundingan sukar 

Pada Mei 2025, negara anggota WHO meluluskan perjanjian pandemik bersejarah selepas lebih tiga tahun rundingan yang dicetuskan oleh pengalaman pandemik Covid-19.

Perjanjian itu bertujuan mengelakkan pengurusan krisis kesihatan masa depan yang tidak tersusun seperti ketika Covid-19, dengan meningkatkan koordinasi global, pemantauan, dan akses kepada vaksin.

Namun, PABS, elemen paling penting dalam perjanjian itu ditangguhkan untuk membolehkan perjanjian utama dimuktamadkan dahulu.

Negara-negara diberi masa sehingga Jumaat minggu ini untuk mencapai persetujuan, sebelum ia dibentangkan dalam Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada 18 Mei.

Diplomat Brazil, Jean Karydakis berkata, perjanjian masih mungkin dicapai walaupun perbezaan pandangan yang besar.

Beliau menambah, kemajuan adalah perlahan dan kompromi sangat sukar, walaupun Kesatuan Eropah (EU) kini menunjukkan sedikit fleksibiliti.

PABS dianggap sangat penting oleh negara membangun, khususnya di Afrika, yang berasa terpinggir semasa perebutan vaksin Covid-19.

Namun, terdapat perbezaan keutamaan, negara ekonomi sedang membangun seperti Afrika Selatan menuntut pemindahan teknologi, manakala negara termiskin lebih menumpukan kepada akses produk kesihatan.

Rundingan juga menyentuh isu pelesenan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti sistem kesihatan yang masih menjadi titik pertikaian utama.

Akses tanpa identiti? 

Perjanjian sedia ada menyatakan syarikat farmaseutikal perlu menyediakan 20 peratus pengeluaran vaksin, ujian dan rawatan secara masa nyata kepada WHO untuk diagihkan, dengan sekurang-kurangnya separuh sebagai sumbangan dan selebihnya pada harga mampu milik.

Namun, butiran pelaksanaan masih perlu dimuktamadkan dalam lampiran PABS, termasuk akses kepada data kesihatan di luar situasi pandemik.

Organisasi bukan kerajaan (NGO) dan negara membangun mahu peraturan wajib bagi makmal supaya negara miskin mendapat akses kepada vaksin.

Menurut NGO perubatan Doctors Without Borders (MSF), semasa wabak Ebola, sampel dari Afrika digunakan untuk membangunkan rawatan tanpa jaminan manfaat kepada negara asal.

Keadaan itu menyebabkan kekurangan bekalan di Afrika, manakala stok besar terkumpul di Amerika Syarikat (AS), namun di bawah pentadbiran Presiden, Donald Trump telah menarik diri daripada WHO.

Negara membangun juga mahu sistem pendaftaran dan pengesanan pengguna bagi pangkalan data PABS, manakala negara maju seperti Jerman, Norway dan Switzerland menyokong akses tanpa nama.

Namun, lebih 100 NGO termasuk Oxfam memberi amaran akses tanpa nama akan menyukarkan pemantauan penggunaan data patogen dan perkongsian manfaat.

Mereka berkata ia boleh menyebabkan sumber genetik dari negara membangun dieksploitasi secara bebas tanpa sebarang kawalan atau pulangan manfaat.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN