PM Pakistan sahkan gencatan senjata segera di Lubnan, semua kawasan terlibat perang

PM Pakistan sahkan gencatan senjata segera di Lubnan, semua kawasan terlibat perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengesahkan Iran dan Amerika Syarikat (AS) bersama sekutu masing-masing telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta di semua kawasan termasuk Lubnan dan lokasi lain, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau menegaskan kedua-dua pihak menunjukkan kebijaksanaan dan persefahaman yang luar biasa serta terus terlibat secara konstruktif dalam memajukan usaha keamanan dan kestabilan sepanjang proses mediasi berisiko tinggi ini.

Beliau turut mengesahkan Islamabad akan menjadi tuan rumah rundingan pada Jumaat.

“Saya mengalu-alukan langkah bijaksana ini dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan kedua-dua negara, serta menjemput delegasi mereka ke Islamabad pada Jumaat, 10 April 2026, bagi meneruskan rundingan ke arah perjanjian muktamad untuk menyelesaikan semua pertikaian.

“Kami amat berharap ‘Perbincangan Islamabad’ berjaya mencapai keamanan berkekalan dan berharap dapat berkongsi lebih banyak berita baik dalam beberapa hari akan datang,” katanya dalam satu hantaran di platform X.

Seorang pegawai AS berkata, serangan ketenteraan negara itu terhadap Iran telah dihentikan selaras dengan perjanjian gencatan senjata selama dua minggu, lapor The New York Times.

Negara-negara Teluk termasuk Kuwait, Bahrain, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagaimanapun mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengeluarkan amaran hampir serentak serta mengaktifkan sistem pertahanan udara masing-masing selepas gencatan senjata diumumkan oleh AS.

Israel juga dilaporkan bersetuju dengan gencatan senjata tersebut. Media Israel, Ynet, melaporkan gencatan senjata itu turut melibatkan Lubnan dengan kedua-dua pihak Israel dan Hizbollah meletakkan senjata, namun butiran lanjut tidak diberikan.

Namun serangan Israel dilaporkan mengorbankan lapan orang di bandar Sidon, Lubnan, menurut kementerian kesihatan pada Rabu.

“Serangan musuh Israel ke atas Sidon, selatan Lubnan, mengakibatkan angka awal lapan orang awam terkorban dan 22 cedera,” menurut kenyataan kementerian itu.

Tentera Israel mengeluarkan tiga amaran berturut-turut awal Rabu mendakwa Iran telah melancarkan peluru berpandu ke arah wilayahnya, hanya beberapa minit selepas Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau bersetuju menangguhkan serangan ke atas infrastruktur Iran.

Amaran itu dikeluarkan selepas Trump menyatakan beliau akan menggantung serangan besar terhadap Iran selama dua minggu dan bersedia melaksanakan gencatan senjata jika Teheran membuka sepenuhnya Selat Hormuz.

“Tentera Israel mengesan peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke arah wilayah Israel. Sistem pertahanan sedang beroperasi untuk memintas ancaman tersebut,” menurut kenyataan rasmi tentera di saluran Telegram.

Letupan dilaporkan kedengaran di Baitulmuqaddis dan Jericho di Tebing Barat yang diduduki, menurut wartawan AFP.

Tentera Israel turut mengarahkan penduduk di kawasan terlibat supaya berlindung di tempat perlindungan bom.

Amaran susulan yang sama dikeluarkan dalam tempoh sejam selepas amaran pertama pada Rabu, diikuti satu lagi kurang sejam kemudian.

AS dan Israel turut menyerang sebuah hab petrokimia Iran di barat daya negara itu pada Selasa, tanpa menyebabkan sebarang korban jiwa, menurut laporan media Iran yang memetik pihak berkuasa.

Dalam serangan terdahulu di lokasi sama di Mahshahr pada Sabtu, lima orang dilaporkan terbunuh, menurut seorang pegawai tempatan Iran.

“Pada pukul 11:40 malam (waktu tempatan) Selasa, loji petrokimia Amir Kabir di Mahshahr diserang oleh musuh Amerika dan Zionis. Tiada korban jiwa dilaporkan,” kata Timbalan Gabenor wilayah Khuzestan, Valiollah Hayati, seperti dipetik agensi berita Mehr.

Agensi itu sebelum ini melaporkan pengurus perhubungan awam syarikat berkenaan mengumumkan serangan musuh ke atas salah satu unit kompleks tersebut di zon khas Mahshahr.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×