Permintaan minyak mentah dijangka merosot - Utusan Malaysia

Permintaan minyak mentah dijangka merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Permintaan terhadap minyak mentah dijangka mengalami kemerosotan terbesar pada suku kedua sejak pandemik Covid-19 melanda ekonomi global pada tahun 2020, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Selasa.

Menurut IEA, kenaikan mendadak harga yang berpunca daripada perang di Asia Barat akan memaksa banyak negara dan industri mengurangkan penggunaan minyak.

 Ia juga akan menyebabkan kemusnahan permintaan akan merebak apabila kekurangan bekalan serta harga yang lebih tinggi berterusan,  kata agensi itu dalam laporan bulanannya.

Menurut IEA,  ramalannya dibuat berdasarkan senario asas yang mengandaikan penghantaran minyak akan disambung semula pada bulan Mei melalui Selat Hormuz, yang telah ditutup  oleh Teheran sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel mula mengebom Iran pada 28 Februari.

Ini dijangka membawa kepada penurunan permintaan sebanyak 1.5 juta tong sehari  pada suku kedua yang paling ketara sejak Covid-19 menjejaskan penggunaan bahan api, kata IEA.

Secara keseluruhan, permintaan diunjurkan telah menyusut sebanyak 800,000 tong sehari pada Mac dan dijangka turun lagi sebanyak 2.3 juta tong sehari pada April.

Namun, dalam senario berpanjangan jika selat itu terus ditutup, permintaan minyak boleh merosot dengan lebih teruk, kata IEA.

“Dalam keadaan ini, pasaran tenaga dan ekonomi di seluruh dunia perlu bersedia menghadapi gangguan besar dalam beberapa bulan akan datang, agensi itu memberi amaran.

Menurut IEA,  salah satu pihak yang mendapat manfaat besar daripada gangguan di Asia Barat ialah Russia, yang hampir menggandakan pendapatannya daripada eksport minyak pada bulan Mac selepas Amerika melonggarkan sekatan ke atas minyak mentah Russia bagi membantu mengimbangi kenaikan harga tenaga.

Russia memperoleh AS$19 bilion (RM75 bilion) bulan lalu apabila eksport minyak mentah dan produk petroleum meningkat kepada 7.1 juta tong sehari, berbanding hanya 320,000 tong sehari pada Februari, menurut IEA. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN