WASHINGTON: Ratusan ribu pekerja teknologi kini berdepan realiti sukar apabila syarikat gergasi di Amerika Syarikat (AS) mula mengurangkan tenaga kerja untuk memberi laluan kepada pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI).
Syarikat Microsoft memberhentikan 15,000 pekerja tahun lalu, manakala Amazon menamatkan perkhidmatan 30,000 kakitangannya dalam enam bulan terakhir.
Syarikat perkhidmatan kewangan Block memotong 40 peratus daripada tenaga kerjanya. Syarikat Meta dijangka mengurangkan sehingga 20 peratus daripada keseluruhan pekerja dalam masa terdekat. Sementara itu, syarikat Oracle juga baru-baru ini memberhentikan ribuan pekerja.
Pemain industri lebih kecil seperti Pinterest dan Atlassian turut melakukan pemotongan, masing-masing sekitar 15 peratus dan 10 peratus daripada tenaga kerja mereka.
Anggaran meletakkan jumlah keseluruhan pemecatan pekerja teknologi dalam setahun lepas melebihi 165,000 orang, menurut penjejak Layoffs.fyi.
OpenAI, Anthropic dan Google dijangka mengubah landskap pekerjaan teknologi melalui alat AI generatif mereka seperti ChatGPT, Claude serta Gemini.
Teknologi itu mampu mengautomasikan tugasan yang memakan masa, membolehkan pekerja fokus pada kerja lebih kompleks.
Agentic AI, atau bot yang menyelesaikan tugas tanpa campur tangan manusia, berpotensi menggantikan keseluruhan peranan atau fungsi perniagaan.
Beberapa syarikat sudah mula mempamerkan keuntungan yang diperoleh daripada AI. Sebagai contoh Google, mengaitkan AI dengan 50 peratus daripada kod yang dihasilkan dalam laporan kewangan terkininya.
Ketua kejuruteraan Block pada November tahun lalu berkata, 90 peratus daripada penyerahan kod syarikat itu ditulis sebahagiannya atau sepenuhnya dengan sokongan AI.
Walaupun beberapa syarikat mendakwa AI membolehkan mereka melakukan lebih banyak kerja dengan sumber lebih sedikit, masih tidak jelas sama ada AI benar-benar menjadi punca pemotongan pekerjaan. – AGENSI










